Buletin

RAI ULANG TAHUN KE-30 CHINA, FERRARI PERKENAL ROMA EDISI KHAS

China merupakan pasaran penting untuk jenama supercar. Bagi Ferrari, mereka mula menerima tempahan pertama daripada pelanggan di Beijing pada 1992.

Untuk meraikan ulang tahun ke-30, Ferrari memperkenalkan Ferrari Roma yang dibuat khas. Ferrari Roma mendapat sentuhan pereka terkenal dari China, Jiang Qiong’er. Hasilnya, reka bentuk Ferrari Roma edisi khas berakar umbi dari kehalusan, keindahan dan warisan budaya China.

Ferrari dan Jiang Qiong’er mengambil inspirasi daripada estetika China klasik, selain bergabung kepakaran untuk menyatukan unsur falsafah reka bentuk Itali serta Chinoiserie Chic. Roma yang dibina khas ini merangkumi prinsip seni serta reka bentuk asas yang bersesuaian dengan citarasa kedua-dua pihak.

Ferrari Roma dikemaskan dengan warna kontras, Sanusilver Matte dan Rosso Magma Glossy. Manakala kemasan berwarna merah adalah sebahagian daripada penghormatan kepada merah carmine tradisional China.

Sementara jalur-jalur di sepanjang badan dan bahagian kabin diinspirasikan oleh ciri-ciri dari perabot klasik Dinasti Ming. Ia menggabungkan perincian tradisional dari China serta kesenian Itali yang canggih berbanding model asal.

Ferrari Roma itu turut mendapat kemasan gentian karbon, tempat simpanan kunci berwarna merah dan emas, serta plat emas dengan aksara Cina ’30’ bertatahkan jed. Dalam konteks budaya, emas melambangkan kekayaan, manakala jed pula simbol kepada kesucian.

Jentera itu turut didatangkan dengan set penyebar aroma dengan empat bauan (satu untuk setiap musim, diperbuat daripada kayu hitam dan kristal), set perkakasan teh, kotak cerut, layang-layang kertas Xuan, selimut kashmir serta set permainan dam Cina yang diperbuat daripada batu akik dan kulit.

Set hasil rekaan Jiang Qiong’er akan disimpan di ruang penyimpanan seperti glove box, tempat rehat lengan dan but.

GALERI:

Google ads
Back to top button