
EU KENAKAN TARIF TINGGI KEPADA SAIC GARA-GARA KURANG KERJASAMA DALAM SIASATAN, GAGAL KEMUKA MAKLUMAT PENTING
Pada bulan Julai, Kesatuan Eropah (EU) mengenakan tarif tambahan kepada beberapa pengeluar kereta China, tetapi SAIC, kumpulan automotif milik kerajaan, menerima tamparan paling keras.
Ini terjadi selepas didapati bahawa SAIC tidak memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan EU mengenai sokongan dan subsidi kerajaan China kepada pasaran automotif negara itu.
Hasil daripada siasatan tersebut, SAIC dikenakan tarif sebanyak 37.6 peratus di atas duti sedia ada sebanyak 10 peratus.
Tarif ini disemak semula kepada 36.3 peratus, tetapi masih jauh lebih tinggi berbanding dengan BYD, yang dikenakan tarif 17 peratus, dan Geely, dikenakan tarif 19.6 peratus.

Laporan komprehensif yang diterbitkan oleh pihak berkuasa EU pada bulan Julai menunjukkan bahawa pada awalnya, SAIC mematuhi dan menghantar maklum balas terperinci kepada soal selidik.
Namun, “maklum balas tersebut didapati sangat kekurangan” termasuk tidak menyediakan maklumat mencukupi mengenai kos pengeluaran, senarai bahan, komposisi kimia bahan mentah yang dibeli daripada pembekal, serta maklumat berkaitan dengan geran diterima oleh SAIC.
Pada bulan April, Suruhanjaya Eropah menentukan bahawa kekurangan maklumat yang diberikan oleh SAIC telah menghalang siasatannya dan memberitahu pengeluar kereta tersebut.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak bersetuju dengan penilaian tersebut dan mendakwa bahawa mereka telah mematuhi permintaan.
SAIC juga dilaporkan tidak dapat menyediakan salinan asal perjanjian usaha sama yang sedang berjalan.
Memetik laporan Bloomberg, sumber menyatakan bahawa SAIC bimbang tentang keselamatan maklumatnya dan kekurangan akses kepada beberapa data daripada pembekalnya.
SAIC juga mengkritik siasatan tersebut di media sosial baru-baru ini, mendakwa bahawa EU telah meminta maklumat perniagaan sensitif, termasuk formula kimia digunakan untuk baterinya.
Sebagai perbandingan, BYD dan Geely lebih mematuhi permintaan, melibatkan firma undang-undang antarabangsa, serta menjalankan pengumpulan data yang menyeluruh.
Selain itu, BYD juga mengupah pakar polisi di Brussels dan usaha-usaha ini membuahkan hasil kerana BYD dikenakan kenaikan tarif paling rendah.
- BACA: PESAING TESLA MODEL 3, XPENG MONA M03 DILANCARKAN DI CHINA – TIGA VARIAN, HARGA BERMULA RM72K
- BACA: MARTIN SESKS AKAN KEMBALI BERAKSI BERSAMA JENTERA RALLY1 DI CHILE
- BACA: NILAI LAMPU DEPAN CHIRON INI MENYAMAI HARGA PORSCHE 911 BAHARU – #BAIKBELI PORSCHE TERUS BEY
- BACA: PROTON e.MAS 7 BUAT PENAMPILAN UMUM PERTAMA PADA 31 OGOS INI