Buletin

FORD HENTIKAN JUALAN MUSTANG 2.3L ECOBOOST DI EROPAH SEBAB TAK LAKU

Apabila Ford memperkenalkan Mustang dengan pemanduan sebelah kanan, ramai yang bersorak. Sebabnya, pengguna di pasaran Asia dan sesetengah negara di Eropah pun nak merasa juga kehebatan kereta sport paling laris di dunia ini. 

Namun, lain pula ceritanya di Eropah apabila Ford mengesahkan bahawa varian Mustang Ecoboost tidak lagi dijual di sana bermula akhir tahun 2020.

“Ya. Kami sudah menghentikan jualan Mustang 2.3 liter Ecoboost di seluruh Eropah pada hujung tahun lalu,” jelas seorang jurucakap Ford. 

Ditanya sama ada keputusan tersebut akan memberi kesan kepada model-model lain di Amerika Utara, beliau menyatakan tidak boleh memberi komen terhadap produk masa depan.

“Kami baru sahaja melancarkan barisan model Mutang bagi tahun 2021. Varian Ecoboost tidak berubah berbanding model tahun lalu. Ia kekal menjadi model penting dan disukai oleh pengguna,” katanya lagi. 

Ford Mustang generasi keenam memasuki produksi pada tahun 2014 dan ia hadir dengan pilihan enjin 2.3 liter turbo empat silinder Ecoboost. Enjin itu turut digunakan pada Focus RS dan Focus ST terkini. Walaupun kurang berkuasa, ia mambuatkan harga Mustang lebih murah.   

Mustang Ecoboost kini tidak lagi disenaraikan di laman web rasmi Ford Jerman, Itali, Sepanyol dan Perancis, sebelum diikuti oleh negara-negara Eropah yang lain.

Jadi, model Mustang terkini ialah dengan enjin V8 sahaja kerana permintaan terhadap varian 2.3 liter Ecoboost cukup rendah. 

Mustang EcoBoost bagaimanapun akan terus dijual di pasaran AS dalam varian fastback, premium fastback dan convertible.

Enjin berkuasa 310hp dan tork 475Nm tersebut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan manual atau 10-kelajuan automatik. Ia hanya mewakili 15 peratus jualan Mustang di Amerika Syarikat sejak ditawarkan pada tahun 2015. 

Sebagai perbandingan, enjin 5.0 liter V8 pada model GT berkuasa 460hp dan tork 569Nm. 

Google ads
Back to top button