Buletin

FORD LANCAR RANGER FX4 2.2 HI-RIDER DI THAILAND. NAIK TARAF VARIAN LAIN JUGA

Ford Thailand baru sahaja melancarkan versi kemas kini untuk trak pikap popularnya, Ranger T6 bagi pasaran di sana.

Pengenalan itu turut melibatkan satu varian baharu yang dikenali sebagai Ranger FX4 2.2 Hi-Rider.

Dibangun berdasarkan kepada varian XLT, Ranger FX4 masih menggunakan enjin 2.2 liter Duratorq TDCi berkuasa 160hp dan tork maksimum 385Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan.

Sebagai varian baharu, Ranger FX4 dipasang dengan rim rim aloi bersaiz 18 inci, gril hadapan, bampar depan belakang, perumah cermin sisi, lampu kabus, hendal pintu dan sports bar berwarna hitam.

Tona itu turut digunakan pada ruang kabin dengan tempat duduknya dikontraskan bersama jahitan benang berwarna merah. Kemasan sama digunakan juga pada perehat tangan dan papan pemuka.  

Spesifikasi lain seperti sistem infohibur SYNC3 yang menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto, enam unit pembesar suara, paparan multi-info bersaiz 4.2 inci, tempat duduk pemandu boleh laras dan banyak lagi masih sama dengan varian Ranger XLT.

Ranger FX4 ditawarkan pada harga 899,000 baht (RM124,000), naik sekitar 30,000 baht (RM4,100) berbanding varian XLT. Trak pikap itu boleh dibezakan dengan mudah menerusi pelekat dan logo FX4 yang ada padanya.  

Selain Ranger FX4, varian Ranger lain juga menerima sedikit naik taraf. Ranger Wildtrak misalnya didatangkan dengan rim bersaiz 18 inci, lampu utama Bi-LED dan slot USB pada bahagian belakang cermin pandang belakang bagi kegunaan kamera perakam digital.

Ranger Raptor juga menerima beberapa bentuk naik taraf. Ia kini lebih selamat apabila dilengkapi brek kecemasan autonomi (AEB) dengan pengesan kereta dan pejalan kami, Lane Keeping Assist serta sistem amaran pelanggaran hadapan.  

Oh ya, Vinil grafik di belakang juga telah dibuang.   

Tags
Google ads
Back to top button