Artikel Pilihan

PROJECT 86 – RESTORASI AE86 IMPIAN DALAM MASA 86 HARI

Projek 86 merupakan satu usaha restorasi yang dijalankan Cyrious Garage ke atas model Toyota paling popular di seluruh dunia – AE86. Kerja-kerja untuk restorasi kereta-kereta lama bukannya sesuatu yang mudah dan boleh dilakukan dalam jangka masa yang singkat. Ia perlukan kesabaran, perancangan dan paling penting sekali ialah masa.

AE86 yang dimaksudkan dalam artikel ini ialah sebuah model yang hampir reput diserahkan oleh Toyota Canada kepada Cyrious Garage untuk dibaikpulih. Ia merupakan satu cabaran besar untuk mereka kerana tempoh masa yang diberikan hanya 86 hari. Sungguh simbolik sedangkan jangkamasa yang diperlukan untuk projek seperti ini ialah sekitar 6 bulan hingga ke satu tahun. Bukan sekadar restorasi tapi pada masa yang sama menjalani proses modifikasi kerana pemiliknya mahukan kereta ini diubahsuai secara kemas dan bersedia untuk beraksi bila diperlukan.

BACA: PROTON PREVE DENGAN ENJIN EVO -MAKA JADILAH PREVO

Kereta ini sebenarnya menjadi milik Pat (pemilik) sudah sekian lama. Ia merupakan model Toyota Corolla SR5 tahun 1985 dan dibeli dengan harga murah dan dijadikan ‘donor car’ ataupun sumber alat ganti untuk kereta lumba beliau, juga sebuah AE86. Hasilnya kereta ini tersimpan selama lebih kurang sepuluh tahun di dalam garaj dan alat gantinya dituai satu persatu untuk kegunaan kereta lain.

Akhirnya sampai masa untuk kereta ini diberikan peluang kedua untuk bernafas kembali. Menariknya hampir keseluruhan proses restorasi ini telah didokumentasikan dalam bentuk foto album. Sambil bekerja sambil ambik gambar. Eh, sama la macam kerja kami kat sini kan?

Bahagian pertama yang diproses ialah bahagian bumbung. Sunroof bukanlah pilihan yang bijak untuk kereta-kereta seumpama ini (bergantung pada selera individu sebenarnya, ada yang suka sunroof walaupun cuaca Malaysia panas menggelegak). Bahagian berkarat dipotong dan digantikan dengan kepingan logam baru. Ramai yang tidak sedar sebenarnya paling sukar dalam restorasi kereta lama seperti ini ialah untuk mendapatkan bahagian-bahagian alat ganti seperti panel pintu, fender dan bumbung. Ia hampir sudah tidak wujud di pasaran.

Walaupun AE86 cukup popular sekarang, ia sebenarnya tidaklah begitu popular pada sekitar tiga tahun permulaan pengeluarannya. Hanya sekitar tahun 2000 barulah ramai mula sedar dengan keistimewaan model ini. Itupun kira agak terlambat kerana Toyota sudah lama menghentikan pengeluaran alat gantinya. Ini bermaksud alat gantiannya hanya boleh diperolehi dengan satu cara sahaja – Donor car. Untuk modifkasi pada skala ini, 2 ke 3 buah kereta donor diperlukan untuk melengkapkan sebuah model asal. Bukan kecik anak punya projek ni.

Kesukaran mendapatkan panel gantian menyebabkan sesetengah komponen luaran terpaksa dihasilkan sendiri. Walaupun keadaan kereta ini tidaklah teruk sangat kerana berada di bawah bumbung sepanjang masa tetapi setiap sudut dipastikan agar bebas dari karat.

Selepas semua kerja-kerja restorasi badan dan enjin disiapkan. Kereta ini dihantar untuk dicat di bengkel 242 Customs dan kemudiannya pemasangan dimulakan. Sebagai tambahan, ia dilengkapkan dengan roll-cage keselamatan untuk meneguhkankan lagi casis selain menjadikannya lebih sporty. Padanan rim jenama Rota dan Rota Canada yang dibaluti dengan tayar-tayar Yokohama S Drives bersaiz 195 di hadapan dan 205 di belakang memang memberikan efek sporty kepada AE86 ini.

Enjin 4AGE Blacktop 20V merupakan pilihan yang tepat untuk menyerlahkan lagi keupayaan AE86 setelah menjelma kembali selepas 10 tahun tersadai.

BACA: KEGILAAN TRUENO DAN LEVIN – LELAKI INI KONGSI CERITA MILIKI 5 BUAH AE86

Disebabkan kereta ini asalnya merupakan model SR5, mereka ingin menjelmakannya kepada model GT-S. Ia bukannya semudah menukar stiker badan seperti dari Kancil GX kepada Kancil Type R. Untuk memastikan ianya sah digunakan di atas jalan raya, mereka mesti menukar keseluruhan sistem pendawaian dan memeriksanya dengan teliti untuk memastikan tidak ada mana kecacatan dalam pemasangan. Semua peralatan elektronik juga mesti berada dalam keadaan baik dan sempurna. Sistem di Amerika memang unik, modifikasi ekstrim dibenarkan tetapi peraturan mesti dipatuhi tanpa kompromi.

Selepas pemasangan keseluruhan hampir selesai, mereka memanggil pakar tuning dari Onpoint Dyno + Race Service untuk membuat penalaan akhir. Tulis banyak-banyak pun tak guna kerana gambar-gambar yang disertakan lebih bermakna dari seribu perkataan. Kami pun tak tahu dah berapa kali kami lap air liur melihat komponen-komponen prestasi tinggi yang dilengkapkan pada kereta ini.

Secara asasnya, keseluruhan restorasi yang dijalankan ke atas kereta ini memang bertahap 5 bintang dan bukannya di hasilkan di bengkel bawah pokok namun hasilnya memang tak tahu nak cakap apa. Kalau kami dapat melakukan restorasi kereta lama menjadi seperti AE86 ini rasanya tak perlulah lagi lepas ni bawak slip gaji pergi jaja di bank untuk pinjaman kereta baru. Siapa perlu kereta baru pinjaman sepuluh tahun kalau ada AE86 restorasi penuh. Tapi tu lah, harga AE86 nak runtuh pun sama dengan sebuah rumah teres di pinggir bandaraya. Sabar je lah kan? Janji negara kita masih aman.

Kredit kepada cyriousgarageworks.com

GALERI:

Google ads
Back to top button