
GEELY CADANG BINA UNIVERSITI DI TANJUNG MALIM – BAKAL LAHIRKAN BAKAT MUDA DALAM BIDANG TVET
Kerajaan Perak sudah menerima cadangan daripada syarikat kenderaan terkemuka China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) bagi membina sebuah universiti di Tanjung Malim.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasrat tersebut dikemukakan sendiri oleh pengurusan kanan syarikat berkenaan pada minggu lalu.
Menurutnya, cadangan tersebut merupakan perancangan masa depan selain pelaburan bernilai RM32 bilion yang akan dibawa masuk ke Tanjung Malim menerusi Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
“Di China setiap perusahaan ada satu universiti, jadi Perak akan ada satu universiti. Universiti itu nanti akan melatih melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang TVET dan teknologi automotif.

“Mereka minta kita menyediakan tempat. Kita pun sudah mencadangkan tempat kepada mereka,” katanya.
Saarani berkata, menerusi kewujudan Universiti Geely itu kelak, akan ada beberapa lagi pembinaan bangunan dan institusi lain yang berkaitan dengan institusi pendidikan tersebut.
Menurutnya, Geely juga berhasrat untuk mempunyai peluang pelaburan penting di Asia Tenggara dan Perak dipilih menjadi sebagai hab.
Susulan itu juga, beliau menggesa anak muda di Perak mempersiapkan diri mengambil peluang terhadap pelaburan yang dibawa oleh Geely.
Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti lokasi bagi mewujudkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian.
Menurutnya, PLANMalaysia telah bersetuju dengan cadangan lokasi berkenaan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak juga telah meluluskan serta menghantar cadangan itu ke Kementerian Ekonomi untuk diteliti.
Bagaimanapun jelasnya, lokasi sebenar tidak akan didedahkan kepada umum kerana dibimbangi menyebabkan spekulasi harga tanah. – Sinar Harian
- BACA: HAI PROTON – BOLEH TAK BAWA MASUK GEELY PANDA KNIGHT NI?
- BACA: GEELY LANCAR JENAMA DAN MODEL ELEKTRIK PINTAR BAHARU, JI YUE 01
- BACA: MEMASUKI DI PASARAN THAILAND HANYA KHABAR ANGIN, FOKUS PELABURAN DI MALAYSIA – GEELY
- BACA: GEELY GX3 PRO 1.5L BAKAL DILANCARKAN DI FILIPINA – DUA VARIAN, 100HP, HARGA SEKITAR RM62K









