
HAI PROTON – BOLEH TAK BAWA MASUK GEELY PANDA KNIGHT NI?
Geometry, sub jenama Geely baharu sahaja menunjukkan imej model EV mikro mereka yang dinamakan Panda Knight. Er, ini Knight versi kanak-kanak kot? Comel je. Ia menampilkan imej rugged ala Ford Bronco tapi tanpa kemampuan off road tentunya.

Bukan satu masalah besar kerana sekarang imej tu penting. Tak percaya? Tengok Daihatsu Taft, Perodua Ativa, Honda WR-V dan macam-macam lagi. Siapa sangat yang bawa semua tu pergi off road. Paling hardcore pun pergi berkhemah tepi pantai Port Dickson hujung minggu.
Jika dibandingkan dengan Geely Panda yang diperkenalkan pada Disember 2022, edisi Knight ni memang kelihatan lebih rugged dengan tambahan ciri luaran khususnya bahagian plastik yang dibiarkan tanpa cat. Lampu hadapan memang dah menyamai Bronco tapi dengan saiz yang berbeza tentunya.

Titik recovery, rel bumbung dan spoiler belakang dicat dengan warna terang untuk menyerlahkan penampilannya. Tangga sisi tu memang nampak comel tapi tak tahulah macam mana cara yang memijaknya. Rasa-rasa baik jangan cuba kot.
Rim aloi lima jejari nampak boleh tahan tapi ia dipadankan dengan tayar-tayar yang sama saiz dengan Perodua Kenari dan bukannya tayar off road. Imej saudara, imej tu penting. Lagi pun orang muda sekarang mana minat masuk hutan mandi air terjun ni. Diorang suka minum kopi manis leting kat kafe hipster.
Kelegaan bumi? Apa tu? Ingat ini Pajero ke? Ini untuk jalan-jalan dalam bandar dan ber ‘healing’ dengan kawan-kawan je. Nak hardcore baik beli Jimny.

Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya boleh memuatkan empat penumpang dengan selesa. Bukannya selesa macam nak S-Class tapi okey la untuk kereta kompak. Skrin sesentuh tu dah memang aksesori wajib. Lagi pun ini kan model EV.
Terdapat beberapa pilihan bateri dan yang terbesar mampu membawa kereta ini sehingga jarak 200 kilometer. Boleh tahan untuk ulang alik ke tempat kerja.
Ia dijangka memasuki pasaran China bulan hadapan. Macam mana abang-abang kat Proton? Tak nak cuba bawa masuk ke? Kereta-kereta mikro macam ni tengah hot tau kat Malaysia. Tengoklah pasaran Daihatsu Taft, Honda NBox, Daihatsu Tanto, Toyota Tank dan dua tiga jenis lagi. Laku macam goreng pisang chisss panas.

