Buletin

GENESIS TAYANG FOTO MODEL KONSEP X SPEEDIUM COUPE. EV PENUH GAYA DAN KUASA 

Jenama mewah daripada Hyundai, Genesis sejak akhir-akhirnya mendapat perhatian ramai dengan rekaan kenderaannya yang begitu elegan. Terkini, jenama dari Korea Selatan itu mengetengahkan model konsep X Speedium Coupe pula. 

Merupakan evolusi daripada model konsep X yang diperkenalkan tahun lalu, Genesis X Speedium Coupe direka untuk menyerlahkan bahasa rekaan yang akan digunakan pada kenderaan elektrik Genesis. Rekaan itu mudah dikenali menerusi gril Crest. 

Rekaan tersebut juga hadir dengan unit lampu quad yang disambungkan bersama lampu nyalaan siang (DRL), sekali gus meningkatkan lagi reka bentuk grilnya. Menurut Genesis, jentera berkenaan membawa wajah EV yang menjadi bukti keseriusannya untuk menjadi jenama EV sepenuhnya dengan enam model baharu menjelang tahun 2030. 

Evolusi model konsep itu diserlahkan lagi dengan rim, cakera brek ventilasi dan angkup berwarna kuning hijau. Melihat dari arah sisi, Genesis X Speedium Coupe jelas kelihatan seperti sebuah fastback atau shooting brek. Bahagian belakang pula nampak begitu sporty dengan spoiler jenis duck tail dan peresap udara. 

Tidak menyatakan maklumat lain dengan jelas, Ketua Pegawai Kreatif Genesis, Luc Donkerwolke bagaimanapun memberitahu rekaan X Speedium Coupe merupakan pemulaan ke arah reka bentuk EV pada masa depan.

“Ini bukan kereta untuk pameran. Ia adalah proses rekaan kami ketika kami meneroka idea untuk gelombang EV masa depan yang mengandungi DNA Genesis,” katanya. 

Selain memperkenalkan X Speedium Coupe, Genesis turut mengumumkan bahawa tempahan GV60 sudah dibuka. Pelanggan yang berminat boleh melayari laman web Genesis.com dan mendaftar untuk membeli EV pertama Genesis. 

GV60 dibina di atas platform E-GMP dan dilengkapi pek bateri 77.4kWh dan tiga pilihan rangkaian kuasa. Varian pacuan roda belakang menawarkan kuasa 225hp dan tork 350Nm. 

Manakala varian pacuan semua roda dipasang dengan dua motor elektrik berkuasa 314hp dan tork 605Nm. Pelanggan juga boleh mendapatkan varian berprestasi tinggi dengan motor berkembar dan pacuan semua roda berkuasa 429hp dan tork 605Nm. 

Google ads
Back to top button