Pandu Uji

KIA GRAND CARNIVAL, 2.2 TURBODIESEL DENGAN 199 KUASA KUDA DAN 440NM TORK

Rasanya awal tahun 2022 penulis terserempak dengan Kia Grand Carnival generasi lama di laluan dari Jeli menuju ke Grik ketika mendaki bukit. Ahh, bukan kuat pun Kia ni. Mesti boleh pintas punya getus hati penulis. Setelah nekad, penulis menekan butang sport dan membenamkan pedal minyak rapat ke lantai.

Usahkan kereta milik penulis yang berjaya memotong, nak rapat pun tak boleh dengan Kia Grand Carnival pun tak boleh. Malah kereta penulis berdesup kena tinggal dengan MPV sebesar anak gajah ini dengan selamba. Kuat sungguh enjin 2200cc turbodiesel dengan transmisi 6 kelajuan automatik pada Kia Grand Carnival ini.

Berbalik pada seminggu lepas, penulis berkesempatan menerima pelawaan Kia untuk memandu uji Kia Grand Carnival selepas memulangkan Volkswagen Golf GTi. Seperti yang kita sedia maklum, Golf GTi Mk sudah sememangnya seronok dipandu. Jadi bila kita bertukar kepada MPV, mungkin kesoronokan pemanduan akan pudar.

Tambahan pula penulis perlu bergegas pulang dengan segera, maka Kia Grand Carnival ini dipandu dengan sedikit laju melebihi daripada biasa setelah membiasakan diri dengan input stering, respon brek dan dinamik pemanduan Kia Grand Carnival. Tapi penulis tersilap dalam menganggar kekuatan sebenar MPV ini.

Anggapan salah ini sebenarnya datang daripada saiz Kia Grand Carnival ini sendiri, memang besar. Dengan panjang mencecah 5155mm, lebar 1995mm, tinggi 1740mm dan jarak antara roda menjangkau 3090mm memang Kia Grand Carnival ini sangat besar berbanding dengan Vellfire. Tapi dengan berat 2008kg, Kia Grand Carnival sebenarnya lebih ringan.

Apatah lagi dengan enjin SmartStream D 2.2 D4HE merupakan enjin turbodiesel terbaru keluaran Kia. Walaupun hanya 2200cc 4 silinder, enjin ini mampu menjana sehingga 199 kuasa kuda dan 440Nm tork seawal 1750 RPM. Dengan gandingan transmisi 8 kelajuan automatik, keupyaan Kia Grand Carnival di atas lebuh raya memang mengujakan.

Ini kerana sewaktu memecut secara bersahaja di lorong kanan lebuh raya dan mendaki bukit, penulis mendapati Kia Grand Carnival berjaya mengayam-ayamkan Myvi dengan senang. Tanpa disedari halaju ketika itu sudah melebihi 2 kali ganda halaju jalan persekutuan. Memang mengucap panjang penulis dibuatnya, siapa suruh tekan pedal tanpa melihat paparan meter

Walaupun berkuasa, Kia Grand Carnival dengan 8 gear yang boleh dikawal melalui paddle shift sebenarnya bukan direka untuk berlumba dengan kereta sport sedan. Semua kuasa yang dihasilkan enjin generasi baru ini dibuat bagi memudahkan KGC ketika mula bergerak dan memotong kenderaan yang perlahan tanpa ragu-ragu

Apabila anda melemparkan KGC melalui melekoh, akan terasa Kia Grand Carnival seperti mengalami understeer. Ia mudah dikawal dengan mengenakan sedikit brek pada semua brek cakera depan belakang yang berupaya memperlahankan MPV seberat 2 tan ini dengan mudah.

Paling selesa, turunkan sedikit gear dengan paddle shift sebanyak 2 gear dan lalu sahaja selekoh pada halaju maksimum 140km/j. Walaupun enjin SmartStream baru ini sebenarnya 30kg lebih ringan daripada enjin lama, enjin diesel pacuan roda depan memang sinonim dengan masalah understeer.

Ini disebabkan enjin diesel sebenarnya lebih berat berbanding dengan enjin petrol. Kestabilan Kia Grand Carnival dibantu dengan sistem suspensi topang McPherson di bahagian depan dan MultiLink di bahagian belakang. Berdasarkan rasa pemanduan, penyerap hentak ditala dengan sedikit lembut dan cukup selasa dan nyaman bagi pemanduan jarak jauh.

Apatah lagi bahagian dalaman direka dengan menggunakan tema warna beige terang, hitam berkilat dan kemasan krom yang nampak mewah dan sedap dilihat. Konsol kawalan utama ditukar kepada butang seperti butang rotari kawalan gear, butang brek parkir, ciri autohold dan butang mode pemanduan

Anda boleh memilih mode Normal, Eco, Sport atau Smart yang akan menukar pada mana-mana model secara automatik bergantung pada cara pemanduan anda. Dalam masa 3 hari ujian pemanduan yang melibatkan perjalanan sekitar 460km, Kia Grand Carnival hanya menggunakan separuh sahaja tangki diesel yang dibekalkan.

Jika hati anda kering dan kekal pada 140km/jam, ia akan memberikan bacaan purata sekitar 8.69km per liter diesel. Angka ini menurun kepada 11.6km per liter diesel pada halaju 120km/jam dan menjadi sebagus 17.85km per liter diesel pada halaju 80km/jam. Tapi persoalannya, mampukah anda menahan diri dengan memandu 80km/jam dengan MPV berkuasa ini?

Sebenarnya penggunaan diesel pada Kia Grand Carnival ini bergantung sepenuhnya pada kaki kanan anda. Semakin kuat anda tekan, semakin rabak la poket anda. Tapi percayalah tork yang dihasilkan bakal buat anda ketagih. Namun bagi anak-anak atau penumpang, keluasan bahagian belakang adalah perkara yang penting bagi mereka

Kusyen Kia Grand Carnival boleh disusun menjadi 5 tempat duduk, 8 tempat duduk, 11 tempat duduk atau 9 tempat duduk. Kusyen tengah barisan kedua dan ketiga sebenarnya direka untuk kegunaan perjalanan jarak dekat sahaja, jadi ia tidak dipasang dengan perehat kepala dan tali pinggang keledar 3 poin. Kalau ada lagi bagus.

Kia Grand Carnival paling sesuai dijadikan MPV dengan 8 tempat duduk dengan kusyen barisan ke empat ditanam dalam lantai bagi menghasilkan ruang kargo yang cukup besar iaitu sekitar 540 liter dan menjadi sekecil 33 liter bila kusyen barisan ke 4 digunakan. Jika terpaksa, barulah guna kusyen barisan ke empat ini.

Ini kerana jika terpaksa digunakan barisan ke empat sebenarnya tidak memberikan ruang kaki yang cukup, sudut menyandar yang menegak dan tiada corong penyaman udara disediakan. Mungkin ia hanya sesuai untuk kanak-kanak bagi perjalanan jarak dekat. Sama seperti kerusi tengah di barisan kedua dan ketiga yang tidak menyediakan ciri perehat kepala.

Anak penulis boleh duduk dengan selesa, tapi tidak sesuai untuk penumpang dewasa. Kusyen barisan kedua dan ketiga ini boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:40. Jika tiada siapa yang duduk, lipat sahaja kusyen tengah untuk dijadikan meja untuk meletak minuman dan telefon pintar. Atau lipat terus bagi membolehkan penumpang berjalan di dalam MPV dengan selesa.

Selain itu, penumpang juga menerima ciri-ciri moden MPV yang lain seperti:

1. Penyaman udara 3 zon yang berbeza untuk pemandu, penumpang depan dan penumpang belakang.

2. Penumpang belakang menerima corong penyaman udara di atas kepala sehingga barisan ke 3. Penyaman udara boleh dikawal sendiri oleh penumpang belakang termasklah menetapkan mode Auto

3. Terdapat 6 poin USB bagi mengecaj telefon dari barisan pertama sehingga barisan ke tiga. Istimewa untuk ruang pemandu ialah ciri mengecaj telefon tanpa wayar.

4. Terdapat 2 soket 12 volt disediakan, 1 dipasang di barisan kedua dan satu lagi di barisan ke empat

5. Kusyen penumpang depan boleh dilaraskan dengan menggunakan butang bagi menjadikan penumpang belakang barisan kedua terasa seperti limosin

6. Pemandu dan penumpang depan diberikan kusyen yang boleh dilaras secara automatik manakala kusyen barisan kedua menerima perehat tangan

7. Semua tingkap belakang diberikan ciri blind yang boleh ditarik ke atas bagi tujuan privasi

8. Sambungan Apple Car Play dan Android Auto yang membolehkan ciri navigasi dipaparkan pada skrin sebesar 10 inci

Dalam aspek keselamatan Kia Grand Carnival turut menerima sistem 7 beg udara, brek ABS dengan sistem ESC, 8 sensor parkir depan belakang, kamera 360 darjah, sistem amaran titik buta, sistem amaran lintasan trafik belakang, dan Hill Start Assist Control.

Kusyen tengah barisan kedua dan ketiga dilipat bagi memudahkan laluan, manakala kusyen barisan ke empat ditanam dalam lantai

Secara jujurnya keseluruhan rekaan luar dan dalam Kia Grand Carnival tidak lagi seperti rekaan Korean yang tradisional. Hakikatnya otak penulis terasa tertipu dengan rekaan baru Kia Grand Carnival ini, ia memberi perasaan yang anda memandu MPV berjenama Continental. Kerap kali tangan penulis mengetik suis signal di sebelah kiri sedangkan ia berada di sebelah kanan.

Rekaan luar terutama di bahagian depan adalah baru sepenuhnya termask jeriji korporat baru Kia yang lebih menyerlah. Lampu LED depan direka persis sebuah Land Rover dengan lampu LED bersambung terus dengan jeriji krom depan. Cuma kedudukan lampu tinggi sahaja rasa tidak kena pada tempatnya.

Rekaan sisi pula nampak seperti SUV bila dikenakan penggayaan krom pada tiang C, manakala rekaan lampu belakang nampak kurang serasi dengan rekaan keseluruhan MPV terutama dengan penggunaan mentol biasa.

Tapi jika dibandingkan dengan Vellfire, Kia Grand Carnival sebenarnya lebih mesra keluarga dan lebih besar disebabkan rekaan kusyen. Manakala Vellfire pula sentiasa akan menjadi pilihan ahli perniagaan yang mahukan kerusi barisan kedua yang lebih besar, lebih empuk dan dipandu oleh pemandu peribadi.

Namun pada harga RM 196,340 Kia Grand Carnival menawarkan nilai yang sukar ditolak jika anda mencari sebuah MPV yang besar dan berkuasa untuk seisi keluarga. Apatah lagi harga ini adalah harga unit baru koyak plastik, bukannya kereta Recond.

Google ads
Back to top button