,
Buletin

GM JUAL PUSAT KEJURUTERAAN RANGKAIAN KUASA DIESEL KEPADA PUNCH GROUP

General Motors (GM) nampaknya terus menamatkan operasi di luar negara dengan yang terbaru menjual Pusat Kejuruteraan Rangkaian Kuasa Diesel di Turin, Itali.

Dikenali sebagai Sistem Pendorongan Global General Motors, kemudahan itu dijual kepada pembekal automotif dari Belgium, Punch Group. Pemerolehan tersebut turut melibatkan satu perjanjian perkhidmatan kejuruteraan bagi menyokong program produk global GM sehingga hujung tahun 2021.  

Anggaplah ia sebagai satu bentuk pembelian bersama penyumberluaran, sekurang-kurangnya selama dua tahun. Menurut GM, perjanjian itu berperanan memastikan pusat kejuruteraan itu kekal berdaya maju dan para pekerja tidak dibuang.    

“Kami mahukan penyelesaian terbaik buat semua kakitangan dan syarikat ketika peralihan pemilikan ke Punch Group dibuat.

“Kerja-kerja kejuruteraan akan diteruskan untuk menyokong operasi global, selain membolehkan kami fokus kepada usaha dalaman ke arah mendapat penyelesaian jangka masa Panjang,” kata Naib Presiden Eksekutif GM, Doug Parks.

Pada masa yang sama, Punch Group juga merancang untuk memposisikan kembali syarikat dengan pembangunan bagi segmen pasaran baharu.

Fokus perniagaan ini adalah untuk menawarkan perkhidmatan kejuruteraan bertaraf dunia kepada GM dan klien baharu. Ini termasuklah membangunkan aplikasi enjin untuk segmen baru, menyokong pengilangan enjin serta menyediakan penyelesaian enjin dan transmisi ke seluruh dunia.

Dikenali sebagai GM GM Powertrain Europe sebelum ini, Sistem Pendorongan Global General Motors bertindak sebagai pusat kecemerlangan rangkaian kuasa diesel dan elektronik buat GM sejak tahun 2005. Ia ditubuhkan sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan Fiat.

Enjin diesel terkini yang dibangunkan di Turin termasuklah enjin Duramax enam selinder sebaris LM2 bersesaran 3.0 liter. Ia kini dipasang pada trak dan SUV terbaharu GM. Satu lagi enjin ialah LH7 berkapasiti 1.6 liter yang digunakan pada Chevrolet Equinox/GMC Terrain dan Chevrolet Cruze.

Bermula 27 Februari 2020, kakitangan GM Turin menjadi pekerja Punch Group. Kedua-dua syarikat berjanji untuk melaksanakan peralihan dalam keadaan yang lancar.

Tags
Google ads
Back to top button