Buletin

GOOGLE BUG LUMPUHKAN PERKHIDMATAN ONLINE SYARIKAT PENERBANGAN AMERICAN,DELTA DAN UNITED

Tiga syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat (AS) terpaksa menghentikan perkhidmatan online pada awal minggu lalu berikutan terdapat bug perisian dalam platform Google yang memacu sistem tempahan syarikat American, Delta dan United.

Para pelanggan yang cuba melakukan tempahan daripada salah satu syarikat berkenaan berdepan masalah error memuat naik laman tersebut.

Bahkan, satu-satunya pendekatan mengatasi masalah itu adalah dengan beralih ke sistem tempahan telefon ketiga-tiga syarikat berkenaan.

Ketiga-tiga syarikat penerbangan mengakui isu-isu di laman Twitter dan mengesahkan sedang berusaha mengatasi masalah terbabit tetapi tidak memperincikan apa yang sedang berlaku.

Syarikat penerbangan Delta melalui satu kenyataan memaklumkan sedang bekerjasama dengan ‘pihak ketiga’ menyelesaikan masalah itu.

“Delta sedang bekerjasama dengan vendor pihak ketiga menyelesaikan masalah teknikal mempengaruhi kemampuan pelanggan mencari dan menempah penerbangan di Delta.com dan aplikasi Fly Delta.

“Pelanggan Delta masih boleh mendaftar masuk penerbangan dan menggunakan platform untuk mencari maklumat perancangan penerbangan lain.

“Kami mohon maaf di atas kesulitan yang berlaku,” kata kenyataan Delta.

Dalam pada itu, Google turut mengesahkan sedang berusaha memperbaiki ‘masalah yang diketahui’ di platformnya.

Begitupun, ia tidak berkongsi secara terperinci masalah berkenaan. – autoevolution

Google ads
Back to top button