Buletin

SYARIKAT ANGGOTA ONEWORLD KOMITED KEPADA PELEPASAN KARBON SIFAR MENJELANG 2050

Syarikat penerbangan anggota Oneworld komited kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Oneworld memiliki 13 anggota termasuk Malaysia Airlines, akan membangunkan pendekatan individu untuk mencapai sasaran berkenaan.

Antara inisiatif ialah seperti langkah-langkah kecekapan, pelaburan dalam bahan api penerbangan mampan dan pesawat yang lebih cekap bahan api, pengurangan sisa dan plastik sekali guna serta pengimbangan karbon.

Pengerusi Oneworld Alan Joyce, berkata komitmen syarikat ini membuktikan kepentingan yang diberikan oleh pakatan itu untuk menjadi industri yang lebih mampan.

“Walaupun menghadapi cabaran berikutan pandemik Covid-19, kami tidak melupakan tanggungjawab mengurangkan pelepasan karbon dalam jangka panjang ,” katanya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qantas.

Menurut Oneworld, International Airlines Group (IAG), merupakan kumpulan syarikat penerbangan pertama di dunia yang komited kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Japan Airlines dan Qantas turut mengambil langkah sama, manakala syarikat penerbangan anggota lain, Finnair, menyasarkan untuk mencapai neutral karbon menjelang 2045.

Syarikat penerbangan anggota Oneworld merancang untuk mencapai sasaran neutral karbon dalam rangka kerja alam sekitar sedia ada yang telah dipersetujui oleh kerajaan, termasuk melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Kapten Izham Ismail berkata Malaysia Airlines berbangga untuk menyokong “inisiatif yang baik” ini bersama dengan syarikat penerbangan anggota lain dalam memacu kemampanan industri penerbangan untuk jangka panjang.

“Kami berusaha untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam membina legasi untuk generasi akan datang dan meningkatkan sumbangan syarikat penerbangan kami sendiri untuk usaha kemampanan global,” katanya. – Bernama

Google ads
Back to top button