Buletin

JUMLAH PENUMPANG PESAWAT TURUN 75.6%. MAHB SETUJU KURANGKAN CAJ PENDARATAN, YURAN PARKIR

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menganggarkan jumlah penumpang penerbangan menurun sehingga 75.6 peratus tahun ini berikutan impak COVID-19.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah memberitahu berdasarkan kepada jangkaan senario trafik penumpang Malaysia tahun ini, penurunan dianggarkan kepada 29.7 juta berbanding 109.2 juta penumpang tahun lalu.

Syarikat penerbangan dijangka terpaksa mengambil masa selama tiga tahun untuk pulih sepenuhnya daripada impak pandemik. Namun, keadaan itu bergantung kepada situasi COVID-19 di dalam dan luar negara.

“Sebagai persediaan untuk membuka sektor pengangkutan udara, kerajaan menerusi Pakej Ransangan Ekonomi antaranya bersetuju bahawa Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan mengurangkan pendaratan pesawat dan yuran parkir menerusi rundingan dan mekanisma harga,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.  

Selain mengurangkan caj pendaratan dan parkir, Kementerian Pengangkutan juga telah menyenaraikan beberapa cadangan kepada Majlis Penasihat Ekonomi bagi menangani masalah pengangguran dalam kalangan pekerja dan membantu syarikat penerbangan.

Antara cadangan itu ialah memberi had pengecualian kepada pekerja dalam sektor yang layak menerima bantuan kewangan menerusi Program Subsidi Gaji. Di samping insentif cukai untuk meningkatkan jualan tikat dan rebat perkhidmatan utiliti. – Bernama

Google ads
Back to top button