" "
Buletin

POLIS PUTUS DUA JARI DILANGGAR PENUNGGANG PANIK

Tindakan seorang penunggang yang panik kerana memiliki dadah dan cuba melarikan diri selepas melihat pemeriksaan mengejut polis di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan menghala Shah Alam menyebabkan seorang anggota polis kehilangan dua jari kaki kirinya.

Dalam kejadian jam 1.20 petang itu, anggota berkenaan sedang membuat rondaan cegah jenayah sebelum dilanggar suspek berusia 49 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 1.20 petang semalam selepas suspek melanggar seorang anggota polis di hadapannya yang sedang menjalankan tugas bersama pasukan ronda cegah jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Beliau berkata anggota polis berusia 34 tahun berpangkat Koperal itu kini menerima rawatan di sebuah hospital di Shah Alam.

Suspek berusia 49 tahun itu ditahan selepas polis menjumpai dadah disyaki heroin seberat 11.89 gram dan sebotol cecair dipercayai air ketum. – Bernama

Google ads
Back to top button