Artikel Pilihan

JADI JUTAWAN KERANA TESLA

Brandon Smith tidak pernah memiliki kereta elektrik Tesla. Malah di bandar kecil di selatan Milwaukee di mana dia tinggal, melihat sebuah Tesla adalah satu pemandangan yang rare.

Tetapi pada Jun 2017, Smith menggunakan wang simpanan sebanyak AS$10,000 (RM40,000) untuk membeli saham Tesla. Ini merupakan kali pertama dia membuat pelaburan.

Begitulah permulaannya. Selepas itu, Smith yang merupakan seorang penerbit video terus membeli saham Tesla selepas melangsaikan semua komitmen bulanannya sehingga jumlah pelaburannya mencecah AS$90,000 (RM365,350).   

“Saya tidak mempunyai pendapatan enam angka setahun. Saya juga tidak tahu apa-apa tentang saham. Saya cuma beli dan belum pernah jual satu saham pun sampai sekarang,” kata Smith.

Kini, Smith merupakan salah seorang “Teslanaires”, gelaran yang direka sendiri oleh pelabur saham Tesla, selepas nilai saham yang dibeli mencecah lebih AS$1 juta (RM4 juta). Ini berikutan saham Tesla naik hampir 731 peratus sepanjang tahun 2020.

Jadi, pelabur yang terus memegang saham itu mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Namun, hala tuju Tesla mencetuskan perdebatan hangat. Para pelabur dan penganalisis masih kabur apakah Tesla sebenarnya.

Adakah ia sebuah syarikat kereta, gergasi tenaga bersih atau firma teknologi? Penganalisis juga tidak bersependapat tentang nilai sebenar Tesla. Goldman Sachs meletakkan sasaran harga pada AS$780 (RM3,100) sesaham. Manakala JPMorgan Chase pula menyatakan harga saham Tesla cuma AS$90 (RM365).

Anda tidak perlu bekerja di Wall Street untuk mengetahui secara terperinci maklumat operasi dan kewangan Tesla. Ekosistem podcast, Reddit dan saluran YouTube sudah cukup untuk membuatkan anda mengetahui segalanya tentang Tesla tanpa perlu membaca sebarang laporan analisis.

Januari lalu, Elon Musk menyatakan dia fikir pelabur runcit mempunyai pandangan yang lebih mendalam dan tepat mengenai Tesla berbanding pelabur institusi serta penganalisis.

Tesla nyata menghargai pelabur runcit tidak seperti mana-mana syarikat berkepentingan awam. Firma itu tidak keberatan untuk menjawab semua soalan yang diajukan oleh orang awam kepadanya.

Laura Goldman, 62, memberitahu penganalisis dari New York tidak faham tarikan Tesla ke atas generasi muda yang bimbang tentang krisis perubahan cuaca. Goldman, bekas broker saham tidak mempunyai kereta, apatah lagi Tesla.

Tetapi dia membeli 300 unit saham Tesla pada 2010, beberapa bulan selepas IPO Tesla dan terus menambah pegangannya. Baru-baru ini, sahamnya sudah bernilai hampir AS$984,000 (RM3.9 juta).

Ramai juga pemegang saham Tesla ialah pemilik kereta elektrik berkenaan. Basel Termanini, 60, menerima Tesla ModelS pertamanya pada 2012. Doktor itu memiliki 7 unit Tesla dan kini memandu Model Y.

Termanini membeli saham Tesla beberapa bulan selepas IPO dan pelaburannya sudah mencecah lebih AS$2.5 juta (RM10.1 juta). Dia belum bercadang untuk menjualnya lagi buat masa sekarang.

Melabur dalam satu syarikat, terutama dengan sejarah tidak menentu seperti Tesla sememangnya berisiko. Tetapi tarikan terhadap saham itu mudah difahami.

Persoalannya sekarang, apa yang perlu dilakukan oleh pemegang-pemegang saham ini? Melabur dengan syarikat lain, jual atau terus bersama Musk?

Goldman memberitahu dia akan memantau rapat untuk melihat dagangan saham Tesla selepas menjadi sebahagian daripada S&P 500. Ini kerana Tesla akan muncul dalam lebih banyak dana bersama dan pegangan besar oleh pelabur institusi.

“Ketidaktentuan dan golongan fanatik menjadikan pelaburan dengan Tesla begitu mengujakan,” kata Goldman.  

Smith juga masih belum ada rancangan untuk saham Tesla miliknya. Namun, dia sudah berfikir untuk membina atau membeli sebuah rumah. Buat masa sekarang, dia tinggal bersama adiknya di rumah yang dibina oleh datuk mereka di Cudahy, Wisconsin.

“Perkara besar seterusnya ialah apabila Tesla berjaya mencatat 500,000 penyerahan pada tahun ini. Kemudian, Tesla ada kilang bateri baharu di Texas dan Cybertruck yang tidak memerlukan kemudahan mengecat.

“Saya tidak fikir ramai orang sedar tentang skala Tesla ini,” kata Smith. – Bloomberg

Google ads
Back to top button