
HARLEY-DAVIDSON XG750R
Ini ialah sebuah jentera lumba Harley-Davidson. Dikenali sebagai Harley-Davidson XG750R, motosikal lumba itu dibina berasaskan kepada platform model Harley-Davidson Street 750.
Ia telah membuat penampilan pada acara perlumbaan AMA Pro Flat Track Springfield Mile di Illinois, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Seperti namanya, Harley-Davidson XG750R menampilkan enjin V-twin bersesaran 750 yang turut digunakan oleh model street Harley-Davidson Street 750. Cuma enjin itu telah ditala untuk melaksanakan tanggungjawabnya di atas litar lumba.
Selain talaan enjin, casis telah diubah suai oleh pihak Vance & Hines Motorsports. Sebagaimana yang anda boleh lihat daripada foto ini, switchgear tidak sama seperti model biasa, malah brek hadapan juga ditiadakan.
Walaupun mungkin ada yang berminat untuk memilikinya, Harley-Davdison tidak merancang untuk menjual versi street Harley-Davidson XG750R kepada orang ramai.
“Selepas kejayaan perlumbaan trek rata oleh Harley-Davidson XR750, kami tahu sudah tiba masanya untuk membina Harley-Davidson bagi bersaing dalam kejuaraan ini,” kata Pengurus Perlumbaan Harley-Davidson, Kris Schoonover.