Buletin

HATI-HATI DI SIMPANG! – CIRI CANGGIH ŠKODA OCTAVIA 2020

Di antara isu yang sering dibawa penunggang motosikal apabila berhadapan dengan kenderaan lebih besar ialah keprihatinan pemandu seperti di persimpangan atau di jalan raya.

Isu seperti ini tidak cukup dengan prihatin tetapi perlu dibantu melalui teknologi. Hari ini misalnya banyak kereta dilengkapi dengan sistem titik buta dan amaran penukaran laluan.

Menyentuh tentang teknologi, ŠKODA Octavia baharu nampaknya dilengkapi pelbagai ciri keselamatan untuk melindungi pemandu kereta itu sendiri, pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna kenderaan lain.

Di antara yang diperkenalkan dan pertama kali untuk kenderaan ŠKODA dan Octavia ialah Turn Assist, Exit Warning, Collision Avoidance Assist, Predictive Cycling Protection.

Turn Assist

Menggunakan kamera dalaman (on-board), sistem Turn Assist berupaya mengesan trafik mendatang semasa membelok ke kanan di persimpangan jalan bagi mengesan penunggang basikal dan pejalan kaki.

Apabila sistem mengesan bahaya, kenderaan akan diberhentikan dan lampu isyarat amaran dihidupkan seterusnya mencegah daripada berlakunya pelanggaran.

Ciri keselamatan canggih ini berada di dalam mod siap sedia (standby) setiap kali enjin dihidupkan dan diaktifkan semasa isyarat membelok ke kanan.

Exit Warning

Satu lagi ciri pertama untuk kenderaan ŠKODA ialah Exit Warning yang merupakan sebahagian daripada sistem Pengesanan Titik Buta dan berfungsi semasa kereta diparkir.

Sistem ini mengawasi belakang dan tepi kenderaan dan memberi amaran kepada pemandu dan penumpang lain situasi yang tidak selamat untuk membuka pintu.

Peringatan tersebut dibuat melalui lampu amaran visual dan bunyi sehingga tiada lagi bahaya atau jika pintu kekal terbuka.

Pengawasan dibuat pada kedua-dua pintu depan dan belakang dan amaran tersebut dibuat bagi mengelak daripada pintu dibuka dan dilanggar penunggang basikal atau pengguna jalan raya lain.

Kamera yang dipasang dapat mengawasi bahagian belakang kereta sehingga 35 meter pada sudut anggaran 120 darjah seterusnya memberi keyakinan kepada pemandu dan penumpang untuk keluar dari kereta.

Collision Avoidance Assist

Ini juga teknologi pertama yang diperkenalkan pada Octavia dan ŠKODA.

Kamera yang dipasang pada depan kereta berupaya mengesan kemungkinan berlakunya kemalangan dan melakukan pengelakan terkawal bagi melepasi bahaya tersebut sama ada kenderaan lain, penunggang basikal atau pejalan kaki.

Sistem ini menggunakan data masa nyata (real-time) yang disediakan oleh pelbagai kamera dan radar untuk mengira lintasan yang paling tepat dan paling selamat pada potensi objek berbahaya berkenaan.

Pengiraan tersebut mengambil kira jarak, lebar dan kedudukan kenderaan atau halangan di depan dan sistem mampu berfungsi pada kelajuan sehingga 145 km/j.

Predictive Cycling Protection

Selain ciri-ciri canggih di atas, penunggang basikal di hadapan kenderaan dilindungi melalui amaran kepada pemandu.

Kamera depan dan radar akan menghantar amaran kepada pemandu apabila penunggang basikal di hadapan dikesan dan mengaktifkan brek kecemasan jika perlu bagi mengelak kemungkinan berlakunya kemalangan.

Kesemua teknologi canggih yang diperkenalkan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kemalangan dan kami mengharapkan pengeluar lain turut sama menggunakannya pada kenderaan masing-masing.

Apabila manusia gagal bertindak, teknologi atau sistem mengambil alih. 

BACA: TAHUKAH ANDA ŠKODA AUTO BERMULA DENGAN BASIKAL?

BACA: ŠKODA OCTAVIA GUNA ENJIN 1.0L TSI – 110PS 200NM

BACA: ŠKODA SUPERB ’19, RINGKAS BERGAYA (SEPUPU VW PASSAT)

Tags
Google ads
Back to top button