Buletin

HAVAL RAPTOR Hi4 PHEV FACELIFT DIDEDAHKAN – JANA 152HP, JARAK GERAK 115KM

Model terbaharu SUV plug-in hybrid Haval Raptor Hi4, baru-baru ini telah didedahkan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT).

Raptor Hi4 baharu ini menampilkan reka bentuk luaran lebih segar serta kadar penggunaan bahan api yang lebih rendah, dengan harapan dapat meningkatkan permintaan terhadap model ini setelah angka jualannya kurang memberangsangkan.

Haval Raptor Hi4 memasuki pasaran China pada akhir 2023 sebagai tindak balas daripada Great Wall Motor (GWM) terhadap trend peningkatan kenderaan plug-in hybrid (PHEV).

Pada April 2024, Haval melancarkan varian baru Raptor Hi4, namun dalam tujuh bulan pertama 2024, hanya kurang dari 24,000 unit berjaya dijual, satu angka yang rendah berbanding jangkaan.

Kini, GWM sedang mempergiat usaha untuk memperkenalkan versi facelift SUV ini dengan harapan dapat menarik minat lebih ramai pelanggan.

Varian facelift Haval Raptor Hi4 ini hadir dengan bahasa reka bentuk baharu, menampilkan lampu hadapan berbentuk segi empat tepat, berbeza dengan lampu bulat yang digunakan sebelum ini.

Bahagian hadapan kenderaan ini dilengkapi dengan gril berwarna hitam yang lebih besar dengan elemen berlapis krom.

Di bahagian belakang, ia menampilkan tailgate boleh diayun keluar dengan tayar simpanan terpasang.

Dari segi dimensi, Haval Raptor Hi4 memiliki ukuran 4,680/1,950/1,822mm dengan jarak roda sepanjang 2,738mm.

Kenderaan ini juga ditawarkan dengan tiga pilihan roda iaitu 265/60 R18, 245/55 R19, dan 255/60 R19, dengan berat antara 2,055 hingga 2,135kg, bergantung pada varian.

Haval Raptor Hi4 turut dilengkapi dengan trenkuasa PHEV baharu – terdiri daripada enjin petrol 1.5 liter GW5B15M turbocharged, menghasilkan 152hp.

Walaupun enjin ini bukanlah enjin baharu kerana ia juga digunakan dalam model Haval H6 generasi ketiga dan Haval Cool Dog (Haval H3), ia sedikit kurang berkuasa berbanding varian sebelumnya yang menggunakan enjin GW4B15E dengan kuasa 165hp.

Namun, tiada maklumat mengenai motor elektrik disediakan buat masa ini. Terdapat tiga pilihan bateri LFP dari SVOLT yang serupa dengan versi semasa:

  • 18.74kWh, 81km
  • 19.09kWh, 81km
  • 27.54kWh, 115km

Menurut dokumen MIIT, Raptor Hi4 mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 1.13 L/100km, sedikit lebih efisien berbanding model semasa yang mencatatkan 1.15 L/100km.

Haval Raptor Hi4 baharu telah bersedia untuk memasuki pasaran China, dengan kemungkinan besar akan membuat debutnya di Chengdu Motor Show 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Google ads
Back to top button