Buletin

HONDA BRIO 2023 FACELIFT LEBIH BERGAYA, RANGKAIAN KUASA KEKAL SAMA, HARGA BERMULA RM50K

PT Honda Prospect Motor (HPM), pengedar rasmi Honda di Indonesia telah melancarkan Honda Brio 2023 facelift.

Honda Brio merupakan salah satu kereta terlaris di Indonesia, kini hadir dengan reka bentuk lebih sporty serta didatangkan bersama ciri lebih lengkap.  

Dalam segmen kereta bandar, Honda Brio 2023 bakal bersaing dengan Toyota Agya dan Agya GR Sport, serta Daihatsu Ayla serba baharu.

Dari bahagian depan, Honda Brio mendapat kemas kini visual seperti bampar yang direka bentuk semula, gril lebih besar, lampu LED baharu selain, terdapat DRL yang diintegrasi terus dalam perumah.

Model ini diserlahkan lagi menerusi rim aloi 15-inci bagi varian RS, manakala varian standard menggunakan rim-14 inci.

Honda Brio juga tersedia pelbagai pilihan warna baharu, antaranya Electric Lime Metallic (Satya/RS), Stellar Diamond Pearl (RS), Meteoroid Grey Metallic (Satya/RS), Phoenix Orange Pearl dengan pilihan warna dua tona (RS), Crystal Black Pearl (Satya/RS), Rallye Red (Satya) dan Taffeta White (Satya).

Menjengah ke dalam kabin, Honda Brio 2023 facelift disertakan dengan paparan LCD, infotainment baharu 7 inci – ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Perubahan lain termasuklah mempertingkatkan ciri Smart Entry dan Push Start, sementara nuansa lebih moden diketengahkan pada bahagian paten tempat duduk serta papan pemuka.

Dari segi kuasa, Honda Brio 2023 facelift kekal dikuasakan enjin 1.2L NA, menghasilkan 88hp, tork 110Nm dan dipadankan bersama transmisi manual 5 kelajuan atau CVT.

Honda Brio facelift boleh dimiliki di Indonesia pada harga sekitar AS$11,278-16,580 (RM50,102 – RM73,656), bergantung pada varian.

GALERI:

Google ads
Back to top button