Pandu Uji

HONDA CITY 2021, SEDAN SEGMEN B PALING LUAS DAN BERKUASA.

Kalau sekali pandang, Honda City GN2 generasi ke 7 ini tak banyak beza dengan generasi ke 6 terutama dari segi rekaan luaran. Tapi bak kata Mat Saleh “Dont judge the book by it’s cover” adalah perumpamaan yang sangat sesuai bagi menzahirkan kemampuan Honda City terbaru ini.

Sebagai pemilik Honda City generasi ke 6 selama 6 tahun (model 2014), ini pemerhatian penulis pada model terbaru ini terutama dalam aspek pemanduan. Model terbaru ini telah membaiki banyak kelemahan yang ada pada model sebelumnya termasuklah:

1. Titik buta pada bahagian depan dihapuskan dengan mengubah kedudukan cermin sisi dari bucu pintu di tiang A kepada bahagian sisi pintu. Senang nak nampak selekoh sewaktu memandu. Honda Lane Watch membantu mengatasi isu titik buta pada sisi kiri.

2. Lebih selesa jika melalui jalan tidak rata, mungkin Honda telah menggunakan spring dan penyerap hentak yang lebih panjang. Tapi keselesaan ini tidak menjejaskan kualiti pemanduan di selekoh.

3. Suis kawalan penyaman udara menggunakan kombinasi fizikal dan digital bagi menggantikan unit suis pada model lama yang menggunakan teknologi sentuhan. Lebih mudah digunakan sewaktu memandu

4. Sistem audio kekal cemerlang dengan bunyi yang sedap dari 8 pembesar suara dan menggunakan gabungan suis sentuhan skrin dan fizikal. Ciri tambahan termasuklah sambungan Apple Car Play dan Android Auto

5. perakam kamera digital yang dipasang terus oleh Honda

6. Enjin baru i-VTEC DOHC Earth Dream Technology, yang lebih bertenaga dan tak semput pada RPM tinggi walaupun sudah mencecah 6000 RPM.

7. Lebih senyap dan lembut pada pemanduan santai dengan halaju 100km/j pada 2000 RPM dan 80km/j pada 1500 RPM

8. Rekaan dalam kabin menggunakan gabungan kulit berwarna beige, nampak lebih cerah, lapang dan mahal. Model lama menggunakan warna hitam sepenuhnya

9. Saiz konsol tengah yang menempatkan tombol gear dikecilkan, ada lebih ruang untuk kaki pemandu berbanding dengan model sebelum ini.

Pembaharuan yang kami nyatakan di atas tidak dapat dirasai sekiranya anda melihat Honda City generasi ke 7 ini sekali imbas sahaja melainkan anda melihat pada rekaannya yang lebih selamat, matang, dan kurang agresif berbanding dengan City generasi ke 6 yang lebih tajam.

Mungkin Honda perlukan rekaan sebegini bagi memasarkan City pada audien yang lebih besar, dari bakal pemandu muda awal 20an sehinggalah pada umur 50an. Jika anda perlukan rekaan yang agresif, Honda menyediakan pakej aksesori Modulo RS yang merangkumi set skirt depan, belakang, kiri, kanan dan spoiler.

Model baru 2021 ini sebenarnya lebih panjang daripada model lama dengan 4553mm, lebar 1748mm dan tinggi 1467mm iaitu 10mm lebih rendah dari model lama. Ukuran ini sebenarnya hampir menyamai Civic generasi ke 9, tapi berat City ini hampir 30kg lebih ringan. Kami tak tahu bagaimana Honda buat semua ini.

Tapi jika dilihat lama-lama, rekaan ini sebenarnya lebih selamat dan sukar ditelan masa terutama dengan rekaan lampu belakang persis BMW 3 Series G20 terbaru. Rekaan ini kurang sibuk, nampak lebih “clean”, mengekalkan gaya agresif pada bahagian belakang dan menyembunyikan ekzos. Tak nampak ekzos bukan bermakna tak power.

Cuba anda tekan pedal minyak rapat ke lantai, nescaya Wira ekzos besar, Axia ranggi, Myvi Teliban dan Wajalancer akan terkebil-kebil melihat City meluru laju ke depan sehingga 10 tiang letrik. Walaupun menggunakan enjin L15 yang sama, namun perubahan besar yang diberikan ialah mekanisme DOHC bagi menggantikan SOHC dalam generasi ke 6

Tork maksima 145Nm dari enjin L15ZF ini hadir pada 4300 RPM (model lama 4600 RPM) dan kekal bertenaga sehingga 6000 RPM. Model lama SOHC enjin akan terasa sedikit semput bila masuk 5500 RPM. Kuasa enjin naik sedikit dari 118 kuasa kuda kepada 119 kuasa kuda pada 6600 RPM

Bagi mendapatkan penjimatan bahan api, Honda menaikkan nisbah mampatan dari 10.3 kepada 10.6:1 bagi mendapatkan bacaan purata bahan api 18.5km per liter petrol. Semasa ujian penulis berjaya mendapat bacaan sekitar 16.5km per liter petrol dan rekod terbaik bagi model lama ialah 20.9km per liter dengan halaju malar 110km/jam. Kalau pandu lebih cermat, enjin ini rasanya boleh jadi lagi jimat.

Namun kalau ditekan secara agresif, City akan memecut ke depan dengan selamba seolah-olah enjinnya lebih besar dari 1500cc. Ketika Raja Lebuhraya berpeluh untuk kekal pada 160km/j, City masih selamba mengekori tanpa rasa ragu. Ketika Raja Lebuhraya habis nafas di bukit pada 160km/j dan mengalah City meninggalkan sang Raja Lebuhraya dengan selamba.

Masih menggunakan khidmat transmisi CVT yang sama cuma penulis rasakan talaan kali ini lebih agresif berbanding model lama. Ia agak menyentap sedikit sewaktu memulakan perjalanan atau dipandu perlahan dalam taman, tapi bagi pemandu muda ia seolah-olah membuat provokasi bahawa ia boleh dipandu deras

Penukaran gear dengan menggunakan penukar gear di belakang stering pun boleh dibuat selamba walaupun sedang dipandu laju tanpa menyentap. Dari gear 7 ke gear 5 atau 6 masih boleh dilakukan walaupun pada halaju tinggi. Kalau tak boleh seperti kereta lain, isyarat amaran akan diberikan.

Tapi ingat jika anda perah enjin sepanjang masa, maka penggunaan petrol ibarat air paip mengalir deras. Jap, mungkin perumpamaan ini tak sesuai bagi pembaca di Selangor dan Kelantan yang selalu menghadapi masalah bekalan air, maaf. Tapi pokoknya pangkalnya penggunaan petrol akan meningkat

Untuk menjinakkan kuasa enjin dan transmisi menjadi lebih “baik dan sopan” butang ECO disediakan di tepi tombol gear. RPM enjin akan turun sebanyak 300, respon CVT jadi lebih lembut dan pemampat penyaman udara beroperasi pada keadaan yang efisyen. Tapi macam biasa, bila pandu santai sahaja baru penulis guna.

Tapi kalau anda nak pandu perlahan pun tiada masalah, sebab tak semua orang beli kereta nak pandu laju sepanjang hari. Gabungan suspensi belakang yang lebih lembut, kabin yang lebih senyap maka memandu pada halaju 100km/j dengan 2000 RPM pun masih seronok. Tambahan pula kadar kebisingan sekitar 50dB sahaja ketika halaju 100km/j.

Penumpang belakang kekal selesa bila lalu jalan tak rata. Malah penyandar kusyen belakang lebih condong, lebih selesa dari Vios milik penulis. Hanya ketika enjin diperah 4500 RPM barulah enjin menyanyi lagu rock & roll bersama sama unit CVT sehingga masuk dalam kabin kereta

Tapi bila lalu selekoh, City kekal stabil dengan olengan badan yang minima. Salah satu faktor yang menyumbang pada aspek ini ialah pemasangan “chassis strengtening braces” pada bahagian belakang tempat duduk belakang. Tapi ia dipasang rendah bagi membolehkan penyandar kusyen dilipat jika diperlukan. Ruang kargo belakang masih terbesar dalam kelasnya iaitu 519 liter

Suspensi belakang kekal menggunakan Torsion Beam, tanpa perlu menggunakan bar anti oleng (berdasarkan pemeriksaan fizikal dengan mata dan tangan) seperti pesaingnya yang lain. Manakala suspensi depan menggunakan topang McPherson. Saiz rim kekal 16 inci dengan menggunakan tayar 185/55 dan tayar simpanan menggunakan tayar space saving.

Selain daripada ciri Honda Lane Watch, Honda City juga menerima ciri penghidup enjin yang boleh dihidupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh. Tujuannya ialah sekiranya anda memarkir kereta di tengah panas lit-lit, enjin akan hidup dan penyaman udara diaktifkan secara automatik tanpa perlu anda buat pun. Jadi bila masuk daam kereta suhu kabin lebih sejuk dan selesa.

Jangan risau pintu tetap berkunci walaupun enjin hidup, jadi tiada siapa yang boleh masuk dan bawa lari kereta kesayangan anda. Dalam aspek keselamatan City dipasang dengan Vehicle Stability Assist (nama lain ESC), 6 beg keselamatan udara, 2 cagak ISOFIX, brek ABS, Hill Start Assist, kamera mengundur serta sistem amaran pemakaian tali keledar di belakang.

Tawaran ciri keselamatan ini masih ok cuma agak tertinggal dengan pesaingnya yang lain yang menyediakan ciri bonus seperti sensor parkir depan, kamera 360 darjah, sistem amaran pra-perlanggaran dan brek pra-perlanggaran.

Kalau anda masih muda, mungkin nak jadi muda semula, atau baru berkeluarga dan perlukan sebuah sedan paling sporti, paling berkuasa, paling luas, dengan ciri corong penyaman udara di bahagian belakang, lengkap dengan pengendalian otimum antara selesa dan sedap dipandu di selekoh serta harga paling murah bagi jenama import, maka Honda City adalah jawapannya

Tak payah cari yang lain sebab harga permulaannya ialah RM 74,191 bagi varian S, RM 81,664 bagi varian E dan RM 86,561 bagi varian V. Semua harga yang ditawarkan adalah paling murah dalam kelas sedan segmen B, melainkan Proton Persona iaitu jenama tempatan. Cuba pandu uji hari ini, dan anda akan terkesima dengan kuasa enjin i-VTEC DOHC yang dihamburkan oleh City

Google ads
Back to top button