HONDA CITY 2023, MENAMBAT HATI BAKAL MAK MERTUA?
Honda City sedan mula diperkenal di pasaran negara Asia Tenggara pada tahun 1986, khas untuk melawan sedan segmen kompak yang dipelopori oleh Toyota Soluna. Pada ketika itu Honda Civic yang pada mualanya disasarkan untuk pasaran kompak telahpun menjadi semakin besar dan Honda menggantikan Civic dengan City
Memasuki pasaran dunia pada tahun 2019 dengan generasi ke 7 dan dijual di Malaysia pada tahun 2020, Hoinda City menerima sambutan hangat dengan hampir 9000 unit telah ditempah dalam tempoh yang singkat.
Tapi pada ketika itu, versi yang paling garang adalah versi RS ataupun Road Sailing dan hanya diberikan satu pilihan trenkuasa sahaja iaitu hibrid. Manakala versi petrol yang lain tidak menerima kemasan RS yang lebih sporti dan ranggi.
Ini menyebabkan pembeli terpaksa menghabiskan sedikit lagi duit bagi mengubahsuai kenderaan mereka menjadi lebih garang daripada varian petrol biasa kepada kemasan luaran RS. Alangkah baik jika varian RS petrol ini wujud lebih awal.
Jadi menyedari kehendak pelanggan yang mahukan sebuah model RS dengan trenkuasa petrol, Honda melancarkan satu lagi varian iaitu RS petrol yang dijual dengan harga RM 99,900 iaitu hampir RM 12,000 lebih murah berbanding dengan varian RS hibrid e:HEV.
Jika model sebelum facelift direka dengan rekaan depan dan belakang yang sedikit bulat dan comel, rekaan facelift adalah bertentangan sepenuhnya dan menjadi lebih tajam. Contohnya perumah lampu kabus depan dibuat lebih panjang dan tajam, dan jeriji atas serta bawah menggunakan rekaan sarang lebah.
Model RS juga menerima kemasan rear diffuser bagi melengkapkan rekaan sporti di bahagian belakang, cermin sisi hitam dan spoiler belakang hitam. Ciri ini menyebabkan Honda City bertambah panjang sebanyak 36mm menjadi 4589mm. Model RS juga turut menerima kemasan skirting sisi bagi memberikan imej yang lebih bergaya
Enjin 4 silinder 1500cc DOHC i-VTEC yang menjana 119 kuasa kuda dan 145Nm tork dikekalkan bersama sama dengan CVT yang menghasilkan 7 kelajuan maya dengan bantuan paddle shift sekiranya keadaan memerlukan. Berbanding dengan enjin SOHC i-VTEC, penulis rasakan unit ini lebih lancar dan bertenaga.
Untuk ruang dalaman, imej sporti RS dikekalkan dengan penggayaan tona warna hitam dan putih. Balutan kulit untuk kusyen diberikan rekaan baru yang lebih bergaya dengan kemasan benang berwarna merah termasuklah pada tombol gear dan juga jahitan kulit pada roda stering.
Kemasan plastik warna merah ini juga boleh dilihat pada papan pemuka bagi menyerlahkan lagi imej bergaya model RS. Varian ini turut menerima paddle shifter, pedal minyak aloi dan pedal brek aloi serta perehat kaki aloi
Sama seperti barisan Honda yang lain, biarpun Honda City adalah model yang kecil dari luar tapi ruang dalamannya adalah cukup luas dengan jarak antara roda mencapai 2600mm. Ruang bagasi pula sebesar 519 liter dan kusyen belakang masih boleh dilipat 60:40 untuk membawa muatan panjang sekiranya perlu
Bagi anda yang sukakan aspek ketenangan dalam perjalanan, tayar gantian space saver masih lagi disediakan. Unit multimedia dengan skrin 8 inci pula menyediakan sambungan Apple Car Play tanpa wayar serta Android Auto, dan 2 poin USB untuk mengecas telefon dan sambungan ke unit multimedia serta 8 pembesar suara
Terdapat 2 lagi poin USB type C yang dipasang di bawah corong penyaman udara di barisan tempat duduk untuk penumpang belakang. Bagi pemandu, anda akan dihidangkan dengan paparan meter digital dengan skrin 7 inci untuk memudahkan pemanduan mendapat maklumat pemanduan
Dalam satu urusan kerja, penulis berpeluang memandu Honda City 2019 dan Honda City 2023 sejauh 550km setiap model. Untuk model yang lama, penulis dapat rasakan kualiti audio adalah kurang memuaskan, enjin terasa lebih bising dan bunyi bising masuk dalam kereta sehingga anda sukar untuk berbual dengan penumpang
Untuk model baru, aspek keselesaan adalah jauh lebih baik dalam segala segi terutama dari segi kedapan bunyi daripada enjin, dari luar kabin dan kualiti audio adalah lebih bagus. Ini menjadikan keselesaan pemanduan terutama penggunaan ciri Android Auto memudahkan penulis untuk mengetahui keadaan trafik semasa memandu
Namun persamaan antara model 2019 dan model 2023 ialah tetapan rekaan spring dan penyerap hentak. Tekaan penulis ialah Honda mengekalkan rekaan spring yang pendek tapi dengan diameter yang nesar serta penyerap hentakan yang pendek bagi menjadikan pusat graviti Honda City adalah rendah sekaligus menyumbangkan kepada pengendalian yang jitu
Kelemahan rekaan sebegini ialah ia akan terasa sedikit keras pada halaju yang rendah terutama ketika melalui jalan yang tidak rata tapi pada halaju tinggi, anda akan dapat rasakan kawalan cesi di bahagian belakang adalah sangat stabil. Ini mengurangkan input pada roda stering dan membenarkan anda memandu laju dengan tenang
Tapi pada masa yang sama bahagian ekor Honda City terasa sedikit “playfull” dengan ekornya terasa sedikit melibas keluar sedikit tapi masih lagi terkawal dengan bantuan Vehicle Stability Assist ketika memandu keluar dari selekoh dengan laju. Tapi sebenarnya ia membuatkan penulis tersenyum dengan puas
Dari segi pecutan, enjin 1500cc ini cukup bertenaga jika anda perah dengan sekuat hati dan berupaya membawa Honda City ke halaju 190km/jam tanpa masalah. Tapi jika anda membawa anak dan isteri, adalah lebih baik mematuhi halaju dan anda akan dihadiahkan penjimatan enjin yang cukup bagus.
Setangki petrol membolehkan Honda City dipandu sejauh 600km tanpa masalah dengan bacaan purata 18km bagi setiap liter petrol. Dalam aspek brek, model RS ini jauh lebih sedap berbanding model lama dengan penggunaan brek cakera bagi semua roda, terasa lebih yakin dalam semua keadaan pemanduan
Dalam aspek Honda Sensing pula, Honda City menawarkan Low Speed Follow, Lead Car Departure Notification, Adaptive Cruise Control, Amaran Pra-Perlanggaran , Brek Kecemasan Automatik, Lane Keep Assist, Road Departure Mitigation, dan Auto High Beam (AHB).
Malah untuk versi facelift kali ini, semua varian menerima ciri Honda Sensing dan hanya varian RS hibrid sahaja menerima ciri tambahan Low Speed Follow lengkap dengan Electric Parkir Brake dan AutoHold. Kalau la varian RS petrol menerima ciri ini kan lebih baik
Untuk varian RS sahaja, Honda turut menawarkan ciri Honda Connect yang boleh menawarkan sambungan ke telefon pintar anda. Honda Connect akan memaklumkan kepada anda sekiranya Honda City cuba dipecah masuk, amaran jika kereta dipandu laju, mengesan kedudukan terkini kereta, menetapkan geofencing dan juga membuat panggilan ke pihak berkuasa jika berlakunya kemalangan
Keadaan ini menerangkan serba sedikit kenapa harga Honda City meningkat naik berbanding dengan versi sebelum facelift disebabkan ciri keselamatan Honda Sensing yang kini diberikan pada semua varian. Jika anda mahukan varian termurah, ia dijual dengan harga RM 84,900 dan bagi varian RS petrol ia dijual pada harga RM 99,900.
Jika anda memerlukan sebuah kereta sedan yang praktikal, luas, berkuasa, menjimatkan bahan api dan lengkap dengan sistem keselamatan terkini maka Honda City adalah jawapan kepada pencarian anda