Buletin

HONDA CITY TERIMA 9,000 TEMPAHAN. VARIAN V, WARNA PUTIH PALING LAKU

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima hampir 9,000 tempahan untuk model sedan City generasi kelima selepas hanya sebulan dilancarkan. 

Dalam tiga varian yang ditawarkan buat masa sekarang iaitu S, E dan V, V menjadi pilihan ramai dengan mencatat 54 peratus tempahan.

City serba baharu mendapat permintan memberangsangkan dari wilayah Tengah yang menyumbang 44 peratus, diikuti oleh wilayah Utara 22 peratus dan Selatan 19 peratus. 

Dari segi warna pula, putih mutiara (platinum white peal) menjadi warna pilihan pembeli dengan 28 peratus darpada keseluruhan tempahan City. Sehingga kini, lebih 2,400 unit City telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara. 

“Honda City mendapat sambutan positif daripada pasaran dan jumlah tempahan meningkat sebanyak 80 peratus dalam tempoh sebulan sejak ia dilancarkan.

“Model ini terus berjaya menarik minat rakyat Malaysia. Ramai pelanggan mengambil peluang tempoh pengecualian cukai ini untuk membeli kereta,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama. 

City dijana oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC baharu berkuasa  121PS, paling tinggi dalam kelasnya dan tork maksimum145 Nm. Enjin yang menjimatkan bahan api itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT. 

Dari segi keselamatan, ia menawarkan ciri-ciri standard seperti bantuan kestabilan kenderaan, sistem brek anti-kunci, agihan brek elektronik, bantuan brek, amaran berhenti kecemasan, bantuan mula mendaki, ISOFIX di tempat duduk belakang dan amaran tali pinggang keledar belakang baharu.

Ruang dalaman diluaskan dan corong pendingin hawa untuk penumpang hadir sebagai ciri standard. Varian E dan V juga dilengkapi papan skrin sentuh bersaiz 8-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. 

Google ads
Back to top button