
HONDA CIVIC TYPE R 2023 BAKAL SERTAI TOKYO AUTO SALON – TAPI MASIH PAKAI JAKET CAMO
Honda mengesahkan mereka bakal membawa Civic Type R generasi baharu di Tokyo Auto Salon Januari depan tapi masih kekal dengan pelekat camouflage istimewa merah hitam. Ia merupakan penampilan pertama prototaip ini kepada orang ramai sebelum pelancaran rasmi tahun depan.

Selepas beberapa kali dilihat oleh jurugambar-jurugambar permotoran di seluruh dunia, rupa-rupanya pelekat camo ini memang direka khusus untuk Civic Type R terbaru ini. Lihat dengan teliti dan anda akan dapati selain dari huruf R berwarna merah ia sebenarnya diserikan lagi dengan lakaran model-model Civic Type R terdahulu. Ooo kira macam batik Type R la ni.
Walaupun pelekat ini menghalang kita dari mendapat gambaran penuh kereta ini, ia masih tidak dapat menyembunyikan pakej aero yang direka semula terutama pada bahagian fender, wing belakang yang besar dan diffuser belakang dengan tiga tip ekzos pada bahagian tengah.

Prototaip ini telah dilihat di litar Nurburgring, Jerman dan beberapa minggu lepas Honda telah menunjukkan beberapa siri ujian di litar Suzuka, Jepun. Nampak sangat kan mereka memang bertujuan untuk merampas kembali rekod catatan sepusingan yang sebelum ini menjadi milik mereka dengan FK8R.
Walaupun dunia automotif kini dilanda wabak elektrifikasi, Civic Type R dijangka masih mengekalkan enjin4-selinder 2.0L turbo yang berkemampuan menghasilkan 310 hp kuasa yang sebelum ini digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan. Kombinasi ini rasanya masih akan dikekalkan cuma semestinya ia akan diberi penambahan kuasa dan talaan chasis dan elektronik akan menjadikannya lebih laju di litar.

Pengunjung Tokyo Auto Salon bakal menyaksikan model terbaru Honda ini dari 14 hingga 16 Januari tapi masih dengan pelekat camo ni la. Pelancaran rasminya dijangkakan berlaku selepas Tokyo Auto Salon cuma belum dapat dipastikan secara sahih lagi.


