Pandu Uji

HONDA CR-V e:HEV. PERLU KE BELI SUV ELEKTRIK?

Honda CR-V e:HEV ini boleh dikatakan antara produk yang unik ditawarkan oleh Honda bagi pasaran global. Walaupun menerima asakan hebat daripada sektor SUV elektrik, Honda tetap kekal dengan DNA mereka dengan menawarkan CR-V dalam 3 perasa utama

Bagi pasaran Malaysia, ia datang dengan pilihan enjin 1500cc 3 silinder turbo dan juga 2000cc e:HEV. Bagi pasaran luar negara, CR-V juga diberikan pilihan plug-in hybrid bagi menangkis serangan SUV elektrik. Selepas memandu CRV dalam 2 sesi yang berbeza iaitu untuk perjalanan jauh dan juga dekat, kami rasakan varian e:HEV hibrid pun sudah cukup untuk situasi pemanduan di Malaysia

Berbeza dengan varian petrol, rekaan varian e:HEV sebenarnya lebih sporti dengan penampilan warna hitam berkilat pada cermin pandang sisi, rim dan juga antena yang berada di atas bumbung. Penutup plastik di bahagian sisi tayar juga diberikan kemasan warna badan memberikan imej yang lebih kemas berbanding dengan varian petrol.

CR-V e:HEV juga turut menerima perkakasan tambahan setara dengan harga yang ditawarkan seperti lampu depan lengkap dengan teknologi adaptif, jeriji depan aktif, dan juga lampu kabus di bahagian belakang

Pemandu boleh mengakses ruang kargo sebesar 589 liter dengan menggunakan pintu bantuan kuasa elektrik, yang boleh dibesarkan menjadi 1075 liter apabila kusyen barisan belakang dilipat. Semua pintu akan terkunci secara automatik dengan ciri “walkaway closing”

Bagi unit pandu uji, ia turut menerima aksesori Modulo Bodykit yang terdiri daripada front grille garnish, front aero bumper, side step, dan juga rear under spoiler dengan kos tambahan sekitar RM 6000.

CR-V dan juga Civic sebenarnya berkongsi platform yang sama, dan perkongsian tersebut diteruskan lagi dengan rekaan papan pemuka yang hampir sama dengan Honda Civic. Rekaan baru yang digunakan oleh CR-V nampak kemas, elegan, ringkas dan bergaya terutama dengan penggunaan “mesh covered air vent”

Kemasan aluminium brushed trim juga menaikkan lagi imej eksklusif CR-V eHEV. Sistem multimedia menggunakan skrin 9 inci lengkap dengan sambungan tanpa wayar Apple Car Play, Android Auto, dengan sistem bunyi BOSE

Walaupun menggunakan paparan meter digital Honda sebesar 10 inci, varian e:HEV menerima ciri tambahan Head Up Display yang memudahkan pemandu fokus pada jalan raya. Turut disertakan sekali ialah 4 poin USB unryk mengecaj telefon, 2 poin kuasa 180 watt, pengecaj telefon tanpa wayar dan juga tirai cermin sisi untuk pintu belakang

CR-V e:HEV juga menerima trenkuasa sama dengani Civic e:HEV yang terdiri daripada gabungan enjin 2000cc kitaran atkinson, bateri dan dua motor elektrik. Enjin yang digunakan bukanlah enjin baru, sebaliknya ia adalah enjin R20 yang pernah digunakan satu ketika dulu pada Civic generasi ke 9

Cuma ia telah dirombak dari segi mekanikal dengan ketara seperti sistem aci sesondol diubah dari SOHC kepada DOHC, sistem EFI diganti dengan suntikan bahan api terus, nisbah mampatan 13.9:1 dan kitaran enjin Otto ubah kepada sistem Atkinson

Jadi kuasa enjin menurun kepada 146 kuasa kuda dan 190Nm tork sahaja, dengan fokus untuk mengecaj bateri lithium ion. Kuasa untuk menggerakkan roda datang daripada mootor elektrik yang menjana 181 kuasa kuda dan 335Nm tork, dengan kombinasi sistem sebenarnya menjana 204 kuasa kuda

Dari segi prestasi, CR-V e:HEV boleh memecut 0-100km/jam dalam masa 9 saat dengan halaju tertinggi dihadkan kepada 187km/jam. Satu tangki penuh bahan api membolehkan CR-V dipandu antara 750km ke 830km bergantung pada cara pemanduan

Walaupun dari segi terma hibrid ini kedengaran seperti sebuah jentera mesra alam yang menjimatkan bahan api, namun tork segera 335Nm dari motor elektrik sebenarnya sangat kuat sehingga tayar Toyo yang digunakan gagal memberikan cengkaman pada permukaan jalan yang basah

Tork yang besar ini juga sangat membantu CR-V untuk memotong di jalan persekutuan, membekalkan pecutan yang lebih segar berbanding dengan varian 1.5 Turbo AWD. Malah pecutan varian e:HEV juga jauh lebih berkuasa berbanding dengan varian turbo

Dengan ciri Active Sound Control, varian e:HEV juga menghasilkan bunyi enjin palsu, tapi pada hemat penulis ia cukup sedap didengar untuk memberikan rasa pemanduan yang lebih unik

Tetapan berat varian e:HEV juga hanyalah 67kg sahaja lebih berat berbanding dengan varian AWD, namun agihan berat depan dan belakang hampir sekata. Bahagian depan berat tertumpu pada bahagian enjin manakala bahagian belakang pula berat disumbangkan oleh bateri hibrid

Keadaan ini menyebabkan CR-V terasa seperti seimbang ketika di selekoh. Malah sistem penyerap hentak dan juga spring ditala agar CR-V terasa sedikit sport, mengawal olengan cesi dengan baik di selekoh dan pada masa yang sama tidak terasa terlalu keras bila melalui permukaan jalan yang tidak rata.

Stering juga memberikan tindakbalas yang cepat ketika input diberikan, dengan memerlukan kurang daripada 1.5 pusingan untuk “lock” ke kiri dan juga kanan. Ditambah dengan diameter genggaman yang sesuai, CR-V e:HEV boleh dikatakan SUV yang mengujakan untuk melalui lebuh raya Karak.

Gabungan sistem brek konvensional dengan brek regeneratif juga beroperasi dengan baik dan lancar, menyebabkan anda tidak tahu sistem brek yang manakah sedang berfungsi melainkan anda perlu melihat pada meter regeneratif bateri

Biarpun tidak mempunyai gear konvensional, anda boleh memberikan brek enjin kepada CR-V dengan menggunakan pedal anjakan yang dipasang pada belakang stering yang menawarkan sehingga 4 tetapan. Semakin tinggi tetapan, semakin kuat kesan brek enjin dan semakin tinggi tenaga kinetik dikitar semula dalam bateri

Jadi sekiranya anda memandu dengan agresif di laluan berselekoh, mendaki dan menuruni bukit jangan risau kerana sedikit sebanyak tenaga kinetik akan dikitar semula dalam sistem semasa membrek.

Enjin hanya sesekali akan hidup tanpa sebarang amaran untuk mengecaj bateri sistem, dan berbeza dengan Honda City e:HEV, CR-V adalah jauh lebih senyap dengan bacaan di dalam kabin adalah sekitar 55dB sahaja pada halaju 110km/jam

Untuk aspek keselamatan, varian e:HEV menerima beberapa ciri tambahan pada sistem Honda Sensing seperti Adaptive Driving Beam Headlamp, sistem pengawasan tekanan angin dalam tayar dan juga kamera 360 darjah yang cukup terang

Mungkin pada harga RM 196,000 ini ramai akan memberi komen baik beli Tesla, namun sekiranya anda hanya mampu menggunakan sebuah sahaja kenderaan dalam satu masa untuk bekerja, pulang ke kampung dan bercuti maka CR-V e:HEV menawarkan penjimatan, kuasa, dan pengalaman pemanduan seperti sebuah SUV elektrik

Cuma anda tak perlu risaukan fasiliti pengecasan semasa memandu, kerana sistem e:HEV ini sebenarnya seakan-akan sebuah pengecaj yang bergerak bersama-sama anda

Google ads
Back to top button