Motosikal

HONDA EX5 EDISI TERHAD 2022. WARNA EMAS METALIK, 2,000 UNIT SAHAJA, BERMULA RM5,198 

Honda EX5 mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 1987. Dengan ketahanan dan keyakinan yang terbukti sehingga ke hari ini, Honda EX5 menjadi sebahagian daripada mobiliti dengan memberikan kebanggaan serta kegembiraan kepada lebih 2 juta rakyat Malaysia. 

Bagi meraikan model legenda ini, Boon Siew Honda memperkenalkan EX5 edisi terhad. Model itu hadir dalam warna emas sebagai tanda peringatan khas semperna ulang tahun ke-35. Edisi yang mengetengahkan gayaan retro dan premium itu ditawarkan pada harga RM5,198 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). 

Honda EX5 Edisi Terhad dikuasakan oleh enjin 110cc silinder tunggal yang memberikan kuasa 8.54hp pada 7,500 rpm dan tork 8.62Nm pada 5,500 rpm. Enjin berkenaan mengunakan sistem pancitan bahan api Programmed Fuel Injection (PGM-Fi) Honda. 

Sistem itu berfungsi meningkatkan tahap kecekapan proses pembakaran enjin, menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan manual.  

Dari segi dimensi, kapcai itu sepanjang 1,923mm, lebar 696mm dan tinggi 1,046mm. Ia mudah ditunggang oleh sesiapa sahaja kerana mempunyai ketinggian pelana cuma 747mm dan hanya seberat 97kg. 

Kapcai tersebut dipasang dengan suspensi jenis fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berkembar untuk roda belakang. Brek pula, ia dipasang dengan brek gelendong depan belakang. Manakala tangki minyak pula berkapasiti 4.3 liter.  

Pengeluaran Honda EX5 2022 terhad kepada 2,000 unit sahaja dan akan dijual secara eksklusif bersama rim lidi dan warna emas (Extravagant Gold Metallic). 

Maklumat lebih lanjut mengenai Honda Honda EX5 Edisi Terhad, pelanggan boleh mengunjungi pengedar Honda atau menghubungi nombor Bebas Tol Honda di 1-800-88-3993 atau melayari laman web www.boonsiewhonda.com.my 

GALERI

Google ads
Back to top button