
TOYOTA GR SUPRA, BAKAL TERIMA TRANSMISI 6 KELAJUAN MANUAL. AKHIRNYA….
Sebaik sahaja Toyota GR Supra dilancarkan pada tahun 2019, salah satu perkara yang dikritik hebat oleh peminat ialah tiada pilihan gear manual yang ditawarkan. Toyota GR Supra dengan enjin 6 silinder 3000cc yang menjana 382 kuasa kuda hanya dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan automatik buatan ZF sahaja, bagus untuk penawaran produk secara umum tapi tidak menggembirakan peminat yang mahukan gear manual.
Berdasarkan laman sesawang automotif Jepun iaitu Creative 311, satu notis telah dihantar kepada semua pengedar Toyota di Jepun berkenaan dengan pilihan tawaran gear manual 6 kelajuan tersebut. Notis berkenaan menyatakan Supra manual serta ciri-ciri tambahan akan mula diperkenalkan menjelang bulan Oktober 2022 dan dijual pada awal tahun 2023.

Notis berkenaan turut menyebut bahawa Supra manual hanya akan ditawarkan pada varian termahal flagship RZ serta rim aloi tempaan rekaan baru bersaiz 19 inci. Bagi varian dengan enjin 2000cc turbo ia akan kekal bersama-sama dengan transmisi automatik sahaja.
Toyota GR Supra akan kekal dibina oleh Magna Steyr bersama-sama kembarnya iaitu BMW Z4. Berita berkenaan dengan penawaran transmisi 6 kelajuan ini sudah lama didengari dan Toyota membuat pengakuan terbuka yang mereka sedang mengkaji dan membuat R&D berkenaan gear manual 6 kelajuan ini.

Selain daripada aspek rekaan, apa yang menjadi tanda tanya ialah syarikat manakah yang akan membekalkan transmisi 6 kelajuan manual tersebut. Seperti yang anda sedia maklum, Toyota juga berupaya menghasilkan sendiri gear manual 6 kelajuan melalui anak syarikatnya iaitu Aisin. Tapi untuk memudahkan operasi pengeluaran, mereka mungkin meminta ZF menghasilkan gear manual untuk GR Supra
Selain memperkenalkan varian dengan transmisi manual 6 kelajuan, beberapa laporan tidak rasmi mendedahkan bahawa Toyota turut memperkenalkan varian GRMN edisi terhad dengan enjin 6 silinder talaan BMW M3 yang berupaya menjana sehingga 500 kuasa kuda, satu peningkatan yang tinggi berbanding 382 kuasa kuda sekarang.

Tapi edisi khas GRMN ini hanya akan ditawarkan dengan transmisi 8 kelajuan automatik ZF sahajaDengan peningkatan sehingga 500 kuasa kuda, ia akan membawa Toyota GR Supra dalam liga supercar dimana Supra berupaya membuat Porsche 718 Cayman menjadi gentar dengan kehadirannya.






