
HONDA MALAYSIA LANCAR BR-V FACELIFT 2020. 2 VARIAN, HARGA BERMULA RM89,900 SEUNIT
Honda Malaysia baru sahaja melancarkan model crossover BR-V facelift ke pasaran tempatan. SUV dengan praktikaliti sebuah MPV itu didatangkan dalam dua varian iaitu E dan V.
Anda boleh memiliki BR-V varian E pada harga RM89,900 manakala varian V pula berharga RM96,900 seunit.
Melihat pada bahagian luaran, jentera yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017 itu menerima penambahbaikan yang tidak terlalu ketara.
Namun, ia kini kelihatan lebih maskulin dengan gril hadapan, bampar bersama kemasan pada bahagian bawahnya, perumah lampu kabus bajar dan rim alor dua tona bersaiz 16 inci.

Bahagian belakang pula diserlahkan dengan bampar baharu dan antena jenis shark fin.
Bold Runabout Vehicle (BR-V) itu masih menggunakan khidmat enjin 1.5L SOHC i-VTEC berkuasa 120PS. Kuasa yang paling tingi dalam kelasnya itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT. Pemandu boleh menukar kedudukan gear secara manual menerusi paddle shifter yang disediakan.
Disifatkan sebagai sebuah crossover serba boleh, BR-V hadir dengan ruang dalaman yang luas dan versatil. Tempat duduknya menawarkan pelbagai konfigurasi untuk memberikan ruang maksimum demi memenuhi keperluan mengangkut penumpang dan barang.
BR-V menawarkan ruang kargo paling besar iaitu 223 iter apabila semua tempat duduk ditegakkan. Apabila kerusi baris ketiga dilipat, ruang seluas 539 liter sedia untuk digunakan.

Bagi menjadikannya lebih menarik, Honda Malaysia telah memasang beberapa ciri baharu. Antaranya ialah pembesar suara tweeter, lampu kargo dan penapis kabin untuk memberi lebih keselesaan kepada penumpang.
Varian V kini dilengkapi paparan audio bersaiz 7-inci. Tidak ketinggalan, tempat duduk dan tuil gear dibalut dengan kulit bersama jahitan benang merah.
Ciri kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan pendingin hawa automatik didatangkan sebagai standard pada varian E.
BR-V juga tampil lebih menarik dengan warna ungu mutiara yang baru. Pilihan warna lain ialah putih mutiara, perak, merah dan kelabu metalik.

Sempena pelancaran BR-V, Honda Malaysia turut mengadakan dua kempen bantuan komuniti. Kempen “Be Kind With BR-V” diadakan bagi menyokong program bantuan COVID-19.
Bermula 2 Jun hingga 31 Ogos 2020, setiap unit BR-V yang terjual, Honda Malaysia akan menyumbang kepada program tersebut.
“Honda Dealer Donation Drive” pula merupakan kempen yang mengumpul para pengedar bagi memberi sokongan kepada komuniti setempat yang terjejas.
Kempen yang bermula pada 1 Jun hingga 31 Ogos 2020 membolehkan pelanggan untuk pergi ke pengedar Honda dan menyumbang keperluan asas seperti makanan kering serta keperluan rumah.
- BACA: HONDA FREED MODULO X, SEGAK BERGAYA KAN?
- BACA: HONDA HENTIKAN JUALAN CIVIC SEDAN, JADE DAN CITY DI JEPUN MULAI OGOS 2020
- BACA: HONDA ACCORD HYBRID 2020. TAK PAKAI GEAR, MACAM KOENIGSEGG. TOMBOL GEAR PUN TIADA
- BACA: MASALAH CONROD, HONDA PANGGIL SEMULA CBR1000RR-R 2020
GALERI