HONDA LANCARKAN PROGRAM RESTORASI KHAS RC30
Honda baharu sahaja mengumumkan “Refresh Plan” ataupun program restorasi khusus untuk motosikal Honda VFR750R mereka yang dikeluarkan dari tahun 1987 hingga 1990. Jentera unggul ini lebih dikenali dengan kod model: RC30.
Model ini memang sangat istimewa dalam sejarah sukan motor Honda kerana ia merupakan model homologasi yang dibina khusus untuk memenangi kejuaraan Superbike dunia pada tahun 1988. Ia bukan hanya berjaya merangkul kejuaraan pada tahun tersebut malah mengulang lagi sekali kejayaan pada tahun berikutnya selain beberapa lagi perlumbaan lain di seluruh dunia.
Dilengkapi dengan segala jenis teknologi perlumbaan termaju pada ketika itu, versi jalanan dipasarkan dengan harga lebih kurang USD15,000 yang bersamaan dengan RM64,000 (mahal tu sekitar penghujung tahun 80-an).
Walaupun dengan harga gadai buah pinggang macam tu, Honda masih menerima sekitar 3,000 tempahan. Produksi bagaimanpun dihadkan kepada 4,782 di seluruh dunia dengan 1,074 unit untuk pasaran Jepun sahaja. Selebihnya barulah dijual untuk pasaran luar.
Dengan permintaan yang sebegitu tinggi, bakal pembeli dipilih bagaikan memilih pemenang loteri. Semua peminat motosikal inginkannya, malah ketua jurutera RC30 turut mencuba nasib untuk memilikinya dengan menyertai ‘cabutan bertuah’. Malangnya beliau sendiri pun kalah. Fuh, orang dalam sendiri pun gagal.
Sama seperti sebuah model homologasi, ia menggunakan teknologi perlumbaan yang jarang dapat disaksikan pada sebuah model jalanan pada era tersebut. Setiap unit dibina dengan tangan di kilang Honda di Hamamatsu bersama dengan model perlumbaan lain pada jumlah 60 unit seminggu.
Enjin V4 motosikal ini dihadkan kuasanya pada 76 hp pada 9,500 rpm untuk versi JDM tapi terdapat juga versi eksport yang mempunyai kuasa sehingga 133 hp kuasa pada 12,500 rpm.
Enjin RC30 memang sarat dengan teknologi termaju Honda pada ketika itu. Ia merupakan motosikal produksi pertama di dunia yang menggunakan con rod titanium hanya untuk menaikkan lagi 2 hp kuasa. Blok dan kepala selindernya pula dihasilkan daripada aloi aluminium-magnesium untuk mengurangkan berat.
Pengurangan berat memang merupakan agenda utama motosikal ini jadi tidak hairanlah ia menggunakan kerangka aluminium tiub berkembar selain lengan ayun tunggal untuk kemudahan menukar tayar belakang sewaktu perlumbaan. Malah tangki minyaknya juga diperbuat daripada aluminium untuk mengurangkan berat keseluruhan motosikal.
Jadi disebabkan kepentingannya kepada sejarah Honda, mereka merasakan RC30 ini layak menerima program restorasi rasmi dari kilang. Mereka akan membuka sebuah Motorcycle Refresh Center di kilang Honda di Kumamoto untuk memudahkan pemilik menghantar motosikal mereka untuk direstorasi oleh pakar.
Kalau nak buat restorasi sendiri pun tiada masalah kerana Honda sedia membekalkan alat ganti yang diperlukan untuk pemilik di luar sana.
Sebenarnya nak buat program restorasi ni bukan senang ye abang-abang. Maklumlah dulu para jurutera RC30 ni buat rekaan dan draf dengan tangan tahu sebelum dihantar ke bahagian pembuatan dalam bentuk cetak biru. Model contoh pun dibuat dengan kayu. Jadi bayangkan nak jelmakan semua tu kembali dalam bentuk digital. Letih wei. Nasib baik diorang simpan segala draf dan cetakan tu baik-baik semasa raksaksa menyerang Jepun.
Bayangkan mereka terpaksa pinjam sebuah motor milik pekerja Honda sendiri dan mengkaji satu persatu bahagian komponen sebelum merekodkannya dan memastikan ianya sudah cukup bersedia untuk diproduksikan.
Pun begitu ia masih agak mustahil untuk direalisasikan sehingga Honda terpaksa bekerjasama kembali dengan jurutera veteran, pereka dan rakan-rakan niaga lama mereka yang mempunyai pengalaman luasa dengan RC30 untuk melengkapkan bahagian-bahagian yang hilang. Fuh,memang team work gila-gila ni.
Honda berharap dengan pelancaran program ini lebih banyak Honda RC30 di luar sana boleh diselamatkan dan mampu bergerak untuk jangka masa yang lebih lama. Malah menurut mereka lagi, 70 peratus daripada Honda RC30 yang dipasarkan di Jepun masih lagi dalam keadaan baik dan mempunyai pendaftaran yang sah. Ye lah, dah nama pun model eksotik kan.