YZF-R1 TERKUBUR SELEPAS 26 TAHUN, APA HALA TUJU YAMAHA SELEPAS INI?
Hari yang paling paling dibimbangkan bagi peminat ‘superbike’ seluruh dunia akhirnya tiba apabila timbul laporan bahawa Yamaha bakal menghentikan pengeluaran Yamaha YZF-R1 selepas 26 tahun.
Ini kerana timbul beberapa laporan dari media United Kingdom yang memetik kenyataan dari jurucakap Yamaha UK seperti berikut, “Yamaha Motor Group telah membuat keputusan untuk tidak membangunkan R1/R1M yang mencapai standard emisi Euro5.”
Sebaliknya, jurucakap tersebut memaklumkan bahawa Yamaha akan memberi fokus pada aspek dan strategi perniagaan lain yang akan menyumbang lebih banyak peluang pada masa akan datang.
Bagi kami, berita ini bukanlah perkembangan yang menggemparkan kerana gelombang sama turut melanda beberapa pengeluar lain termasuk Suzuki sebelum ini.
Kilang Hamamatsu telah pun menghentikan pengeluaran GSX-R1000 atas faktor emisi yang memaksa pengeluar menghasilkan enjin baharu yang lebih “bersih”.
Yamaha juga telah menghentikan pengeluaran YZF-R6 sebaliknya hanya menghasilkan model untuk kegunaan litar lumba sahaja (untuk rekod model kegunaan litar tidak perlu mematuhi peraturan emisi Euro 5).
Mungkin ramai yang bertanya, mengapa tidak hasilkan enjin R1 yang baharu lalu mencapai standard Euro5?
Hakikatnya, pembangunan platform baharu bukan sahaja menelan belanja besar malah merugikan apabila permintaan terhadap motosikal 1,000cc semakin menurun akibat daripada harga yang saban tahun semakin tinggi.
Pada masa sama, pengguna kini lebih gemar memilih ‘sportsbike’ yang lebih praktikal antaranya Honda CBR650R, Yamaha R7 dan Aprilia RS660. Maka dengan itu, kenyataan dikeluarkan jurucakap Yamaha UK itu sudah pun dijangka.
Namun, persoalannya kini apakah solusi Yamaha dalam mengisi slot yang bakal ditinggalkan R1/R1M?
Dalam hal ini, bangkitnya nama Yamaha YZF-R9 yang telah pun Yamaha failkan tanda dagangan selama beberapa tahun. Khabar angin R9 diperkuat apabila Yamaha memperkenalkan R7 pada 2021 yang dikuasakan enjin CP2 dari MT-07.
Ini bermakna R9 bakal dikuasakan enjin CP3 dari MT-09. Yamaha telah pun memberikan bayangan pertama kemunculan R9 dengan memperkenalkan XSR900 GP Edition tahun lalu.
Setakat ini, tiada desas-desus bila sebenarnya R9 akan menjadi kenyataan walaupun beberapa kali khabar angin mengenai model itu bertiup kencang. Bagaimanapun, kami berasakan R9 akan membuat kejutan lewat tahun ini.
Apa pun, nantikan perkembangan selanjutnya dari kilang Iwata.