Buletin

HONDA MALAYSIA JUAL 5,700 UNIT KENDERAAN MEI HINGGA JULAI. SUSUT SEBANYAK 57 PERATUS

Honda Malaysia mengumumkan sebanyak 5,700 unit kenderaan sahaja yang dijual sepanjang bulan Mei hingga Julai tahun ini.

Ia menunjukkan penurunan sebanyak 52 peratus berbanding dalam tempoh sama tahun lalu dengan jualan mencecah 12,000 unit kenderaan.

Syarikat berkenaan sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan perintah berkurung sepenuhnya bagi mengawal pandemik Covid-19.

Bermula pada bulan Jun, semua bilik pameran ditutup dan fasiliti pengeluaran di Pegoh, Melaka dihentikan sementara manakala pusat servis tertentu beroperasi sepanjang tempoh sama.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda MalaysiaMadoka Chujo berkata penutupan bisnes secara berpanjangan memberi kesan ke atas aktiviti pengeluaran model baharu Honda Malaysia kerana tiada ujian dapat dijalankan di fasiliti pengeluaran.

“Malah, rantaian pembekalan dan pengeksportan syarikat turut terjejas. Industri automotif menyokong satu rangkaian luas pembekal alat ganti dan komponen tempatan.

“Pembekal seperti ini mungkin tidak mampu mengekalkan operasi masing-masing dan ini akan memberi kesan terhadap keseluruhan rantaian pembekalan,” katanya.

Chujo menjelaskan lanjutan perintah berkurung sedia ada dengan tiada gambaran jelas bila perniagaan boleh disambung semula memberi impak terhadap rancangan dan pelaburan menyeluruh pemain-pemain automotif.

“Kesan domino itu memberi kesan ke atas 101 pusat pengedar rasmi Honda yang kini berdepan masalah kewangan dan masa depan yang tidak menentu.

“Malah masa depan pekerjaan golongan jurujual, penasihat servis dan staf unit lain di premis pengedar juga berada diambang ‘ketidaktentuan’,” ujarnya.

Beliau berkata Honda Malaysia memahami kesukaran dialami pihak pengedar dan rakan sekutu syarikat dan cuba sedaya upaya membantu mereka.

Justeru, Chujo menambah antara langkah diambil ialah mendaftar sekutu Honda di bawah program Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk mempercepatkan kadar vaksinisasi negara.

“Honda Malaysia mahu capai sasaran 100 peratus pemvaksinan dos pertama untuk semua sekutunya menjelang pertengahan bulan ini (Ogos 2021).

“Harapan syarikat ialah membantu program pemvaksinan dan menyediakan satu persekitaran lebih selamat untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Honda Malaysia berharap sektor automotif dibenarkan kembali beroperasi lebih awal dengan pematuhan ketat SOP dan garis panduan ditetapkan kerajaan.

Jika ia dapat dilakukan lebih awal, impak jangka panjang yang tidak diingini seperti pembuangan pekerja dapat dicegah dan membantu mengurangkan potensi bisnes ditutup dalam rantaian pembekalan.

Google ads
Back to top button