Buletin

HONDA MALAYSIA SASAR JUALAN SEBANYAK 95,000 UNIT TAHUN INI

Honda Malaysia hari ini mengumumkan hala tuju perniagaannya untuk tahun 2024 dengan matlamat mencapai sasaran jualan sebanyak 95,000 unit, yang setara dengan 12.8 peratus bahagian pasaran.

Menurutnya, langkah ini dibuat berdasarkan pandangan positif terhadap landskap automotif tempatan serta keinginan untuk terus memperkukuhkan momentum perniagaannya di Malaysia.

Satu aspek penting yang ditekankan oleh Honda Malaysia untuk tahun 2024 ialah penekanan lebih terhadap teknologi e:HEV.

Dengan gabungan sistem hibrid dua motor ini, model-model Honda yang dijual akan memberikan pengalaman pemanduan lebih efisien tanpa mengorbankan keasyikan pemanduan.

Ini sejajar dengan permintaan semakin meningkat untuk kenderaan yang menawarkan gabungan prestasi serta kecekapan bahan api.

Selain itu, Honda Malaysia juga akan memperluaskan jualan kolaboratif, serta mempromosikan faedah pelan Insurans automotif komprehensif mereka – Honda Insurance Plus (HiP).

Bukan itu sahaja, Honda Malaysia telah mengembangkan Rangkaian Honda Certified Used Car (HCUC) ke 32 hab jualan di seluruh negara.

Langkah ini memberi pelanggan platform yang boleh dipercayai untuk mendapatkan kereta Honda berkualiti serta memberikan pelbagai kemudahan diperlukan.

Bagi memberikan kemudahan terbaik kepada pelanggan, Honda Malaysia juga akan meneruskan komitmennya dalam meningkatkan perkhidmatan selepas jualan dengan terus mengembangkan Pusat Servis Honda mereka kepada Pusat Sehenti.

Untuk menarik minat pengguna, Honda Malaysia bakal mengadakan kempen khas di semua 32 hab jualan mereka dari 16 Mac hingga 18 Mac 2024, menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan rebat bernilai sehingga RM1,000 untuk pelanggan.

Dengan strategi ini, Honda Malaysia yakin dapat mencapai sasaran jualan tahun 2024 dan berharap untuk menjadikan tahun ini sebagai tahun yang positif bagi syarikat serta pasaran automotif Malaysia secara keseluruhannya.

Google ads
Back to top button