
HONDA MONKEY LIGHTNING EDITION 2023 DILANCARKAN DI THAILAND – 9.3HP, HARGA BERMULA RM14K
Cub House Honda di Thailand baru-baru ini melancarkan Monkey Lightning Edition 2023. Jentera itu dikemaskan dengan skema warna kuning terang sekali gus jelas menggambarkan konsep ‘Lightning’ tersebut.
Untuk penggayaan, ia menerima grafik animasi atau maskot yang comel – imej kilat menggunakan cermin mata hitam sementara bahagian kiri-kanannya diapit oleh awan serta pancaran kilat.
Selain itu, terdapat juga teks memaparkan ‘Lightning Edition’ dan ‘Monkey Lightning’.

Monkey Lightning Edition 2023 turut didatangkan dengan lampu depan bulat, fender hadapan berwarna krom, pelana bercorak tartan dan swingarm berwarna kuning.
Ciri-ciri utama lain termasuklah set dwi-absorber (belakang), suspensi fork terbalik (USD) depan, rim aloi 10 jejari serta tangki minyak berkapasiti 5.6 liter.
Jentera ini turut dimuatkan dengan brek cakera tunggal dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal di depan pada kedua-dua roda.
Beralih pada kuasa, ia dipacu oleh nadi 125cc, dua injap, penyejuk udara yang berupaya menghasilkan 9.3hp pada 6,750rpm, tork 11Nm pada 5,500rpm dan dipadankan bersama kotak gear klac manual 5-kelajuan.
Honda Monkey Lightning Edition 2023 boleh dimiliki pada harga 108,900 baht atau bersamaan dengan RM14,407.
GALERI:



- BACA: HONDA BAKAL LANCAR MOTOSIKAL ELEKTRIK DI INDONESIA PADA Q2 2023 – TAWAR PILIHAN BATERI SWAP DAN BINAAN DALAM
- BACA: HONDA PATEN SISTEM PENGESANAN KEMALANGAN PENUNGGANG MOTOSIKAL
- BACA: HONDA KEKAL JENAMA MOTOSIKAL NO.1 DI THAILAND 34 TAHUN BERTURUT-TURUT. CATAT JUALAN 1.38 JUTA UNIT PADA 2022
- BACA: HONDA BINA STESEN PENUKARAN BATERI MOTOSIKAL ELEKTRIK DI TOKYO







