Buletin

HONDA KEKAL JENAMA MOTOSIKAL NO.1 DI THAILAND 34 TAHUN BERTURUT-TURUT. CATAT JUALAN 1.38 JUTA UNIT PADA 2022

Thai Honda, pengeluar dan pengedar motosikal Honda mencatat hasil jualan motosikal berjumlah 1.38 juta unit pada 2022, sekali gus kekal berada di kedudukan teratas dalam pasaran motosikal Thailand untuk tahun ke-34 berturut-turut.

Motosikal Honda menduduki tempat nombor satu dalam semua segmen yang meliputi kategori keluarga, automatik (AT) dan sports.

Syarikat itu juga berhasrat untuk bergerak ke arah pemasaran digital dan pengalaman untuk mewujudkan penglibatan jenama bersama komuniti, sesuai dengan gaya hidup generasi baharu di negara itu.

Menurut presiden Thai Honda, Shigeto Kimura, motosikal untuk segmen keluarga kekal menguasai pasaran Thailand dengan 51.8 peratus. Manakala segmen AT, mencatat 43.5 peratus meningkat 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Motosikal sports pula menyumbang sebanyak 3.7 peratus daripada keseluruhan jualan di pasaran Thailand. Secara keseluruhan, Honda menjual 1.38 juta motosikal, menyaksikan peningkatan sebanyak 12 peratus.

Thai Honda berkata ia melihat peluang dan cabaran tahun ini. Kimura berkata ekonomi global masih dalam situasi tidak menentu dan boleh menjejaskan pengeluaran eksport Thailand. Namun terdapat tanda-tanda positif daripada pilihan raya umum dan pemulihan industri pelancongan.

Oleh itu, Thai Honda meletakkan sasaran 1.38 juta unit, angka yang sama seperti tahun lalu namun pemerhati industri menjangkakan bahawa Honda mampu mencapai hasil jualan sebanyak 1.75 juta unit pada tahun ini.

Pada 2023, segmen motosikal berkapasiti 400 silinder dan ke atas dijangka berkembang kepada 20,500 unit, didorong oleh pertumbuhan segmen kembara.

Honda menetapkan sasaran jualan sebanyak 8,150 unit atau peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tahun 2022 dalam kategori ini. Tahun lalu, Honda berjaya menjual 6,598 unit, meningkat sebanyak 2 peratus berbanding 2021.

Untuk mencapai sasaran tersebut, syarikat mahu memanfaatkan pemasaran dalam talian yang meliputi semua platform demi memenuhi trend semasa, selain meningkatkan keupayaan aplikasi My Honda Moto.

Google ads
Back to top button