" "
Buletin

HONDA PERKENALKAN REVOLUSI EV BAHARU – HONDA 0 SALOON DAN 0 SUV, LANCAR TAHUN 2026

Honda memberi gambaran awal tentang masa depan elektrifikasinya di CES Las Vegas dengan memperkenalkan dua prototaip kenderaan elektrik (EV) baharu, 0 Saloon dan 0 SUV.

Menurut Pegawai Eksekutif Kanan Honda untuk Elektrifikasi, Katsushi Inoue, kedua-dua model ini adalah contoh hampir siap produksi dan dijadualkan dilancarkan pada separuh pertama tahun 2026.

Model baharu ini akan menjadi sebahagian daripada Siri 0, yang dibangunkan di EV Hub Honda di Ohio, sebuah hab khusus untuk pembuatan EV.

Walaupun perincian mekanikal masih dirahsiakan, Honda mendedahkan bahawa kedua-dua model akan dilengkapi teknologi automasi Tahap 3 yang membolehkan operasi tanpa tangan dan mata.

Dengan kerjasama Helm.ai, sistem ini direka untuk meniru pemikiran manusia, membolehkan kenderaan membuat keputusan di situasi rumit seperti simpang kompleks.

Naib Presiden Operasi Pembangunan Honda, Stephen Frey, menjelaskan bahawa teknologi ini mampu memahami persekitaran seperti pemandu manusia dan menangani cabaran pemanduan dengan lebih baik.

Selain itu, Honda juga memperkenalkan ASIMO operating system, dinamakan sempena robot ikonik Honda, ASIMO.

Sistem ini menggunakan rangkaian kamera, sensor, dan teknologi pintar untuk melangkaui kawalan kenderaan asas. ASIMO bertindak sebagai sistem pembelajaran berterusan, bukan sahaja terhadap persekitaran, malah juga terhadap pemandu serta penumpang.

Kereta ini mampu mengesan emosi pemandu dan bertindak balas secara interaktif. Sebagai contoh, jika pemandu kelihatan bimbang, sistem boleh memulakan perbualan untuk mengurangkan tekanan.

Sebaliknya, jika suasana ceria, kenderaan boleh berkongsi jenaka atau detik gembira bersama.

Menurut laporan, platform perkakasan system-on-chip (SoC) berprestasi tinggi bagi model ini dibangunkan bersama Renesas Electronics Corporation, manakala perisian kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya adalah hasil inovasi dalaman Honda.

Model 0 SUV dijangka memulakan produksi terlebih dahulu dan akan dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat menjelang pertengahan 2026.

Model 0 Saloon pula akan menyusul tidak lama kemudian. Walaupun begitu, kedua-dua model ini dijangka berada di jalan raya pada penghujung tahun hadapan.

Google ads
Back to top button