Motosikal

HONDA, YAMAHA, KAWASAKI & SUZUKI BEKERJASAMA HASILKAN SISTEM PENUKARAN BATERI UNTUK MOTOSIKAL ELEKTRIK

Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki kini mengenepikan sementara persaingan mereka apabila menjalin bekerjasama untuk menghasilkan spesifikasi standard bgai bateri motosikal elektrik. 

Dikenali sebagai ‘e-Yan Osaka’, ujian keberkesanan idea tersebut bermula pada bulan ini bersama universiti Osaka. Ia bertujuan menunjukkan bagaimana motosikal elektrik yang boleh ditukar baterinya mampu merevolusikan pengangkutan urban.

Jadi, pengguna tidak perlu bimbang tentang masalah jarak, tempoh mengecas dan mencari pusat pengecasan. 

Ini merupakan pembangunan besar yang dilaksanakan oleh empat pengeluar motosikal utama Jepun selepas mereka membentuk satu konsortium pada April 2019. Konsortium berkenaan bermatlamat menghasilkan pek bateri dan satu sistem penukaran bateri yang seragam. 

Walaupun pek bateri standard itu belum diumumkan, ia dilihat akan dibina berasaskan kepada sistem Honda Mobile Power Pack yang didedahkan pada acara CES 2018. Sistem bateri itu digunakan pada skuter PCX elektrik dan Benly-e yang kini ditawarkan kepada pelanggan korporat di Jepun. 

Sepanjang tempoh percubaan itu, motosikal elektrik akan dipinjamkan kepada para pelajar dan kakitangan Universiti Osaka.

Beberapa stesen penggantian bateri turut disediakan di dalam kampus dan kedai serbaguna berhampiran. Ia akan memudahkan pelajar untuk menukar bateri apabila kapasitinya semakin berkurang. 

Ujian tersebut akan dijalankan selama setahun untuk mengenal pasti masalah, spesifikasi bateri dan operasi sistem sebelum ia dimuktamadkan.  

Mobile Power Pack membuktikan bagaimana Honda melihat idea itu boleh direalisasikan. Ia direka supaya muat pada pelbagai jenis motosikal, selain pemotong rumput dan motosikal quad. 

Google ads
Back to top button