HYUNDAI DILAPOR BAKAL HENTI PENAWARAN SEDAN SONATA
Salah satu daripada model sedan Hyundai bakal dikeluarkan daripada senarai jualan kelak.
Ini kerana menurut laporan daripada akhbar Chosun, Hyundai telah membuat keputusan untuk menghentikan penawaran sedan popular tersebut, di mana hayatnya akan berakhir pada generasi terkini.
Memetik sumber dalaman, Hyundai dikatakan tidak lagi memulakan pembangunan bagi model generasi baharu Sonata, dan ia dilihat sebagai satu ‘rahsia terbuka’ di mana sedan tersebut bakal dihentikan penawarannya.
Namun sebelum Sonata dihentikan sepenuhnya, ia bakal menerima versi facelift pada tahun depan.
Hyundai tidak mendedahkan alasan berhubung penamatan sedan tersebut, namun ia dilihat satu langkah yang bertepatan memandangkan pelanggan lebih menggemari kenderaan seperti crossover dan SUV, serta peningkatan permintaan terhadap model-model EV.
Tambahan pula, Hyundai turut membangunkan sebuah lagi model Ioniq 6 yang dikatakan sama besar dengan Sonata dan dijangka menggantikan model Ioniq yang asal.
Jadi, pengenalan Ioniq 6 dilihat bakal mengganggu jualan model Sonata sekiranya langkah tersebut tidak diambil. – Chosun