
HYUNDAI KONA ELECTRIC, BOLEH PANDU SEHINGGA 490KM!
Di dalam kemeriahan penawaran kenderaan elektrik (EV) di negara kita, Hyundai Kona Electric dijual daripada harga RM156,538.00 dan meletakkannya pada kelompok EV termurah di pasaran.
Hyundai sebenarnya aktif membawa masuk EV dan pengguna tempatan turut ditawarkan IONIQ 5. Ada sebuah lagi EV iaitu IONIQ 6 yang berkemungkinan juga menemui pasaran tempatan.
Di Eropah, Hyundai baru sahaja memperkenalkan KONA Electric dan satu daripada siri KONA baharu yang merangkumi rangkaian kuasa enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid.
Berbeza daripada program pembangunan konvensional yang menggunakan konsep ICE kepada EV, KONA dibangunkan dengan kaedah EV kepada ICE.
Pekali seretan (cD) hanya 0.27 dan KONA kekal cemerlang dari segi aerodinamik tanpa mengorbankan gaya.
Sebagaimana IONIQ 5, reka bentuk KONA Electric seperti sebuah SUV biasa tanpa potongan badan yang nampak janggal.
SUV segmen B ini ditawarkan dalam pilihan jarak standard atau jarak panjang dengan anggaran pemanduan sehingga 490 kilometer (WLTP).
KONA Standard Range dibekalkan bateri 48.4 kWj dengan kuasa 114.6 kW dan tork 255Nm. Model Long Range pula menggunakan bateri 65.4 kWj dengan kuasa 160 kW dan tork sama seperti Standard Range.
Sebagai sebuah EV baharu, KONA Electric dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load V2L untuk membekalkan tenaga elektrik kepada peranti dalam dan luar kereta.
Pada bahagian dalam pengguna boleh menggunakan plug dengan outlet standard dan untuk peranti luar pengguna boleh memanfaatkan adapter V2L.
Output kuasa maksimum untuk fungsi itu ialah 3.13 kVA (Eropah) dan 3 kVA (Korea).
KONA Electric menyokong pengecasan 400 V dan masa untuk menambah tenaga elektrik dari 10 peratus hingga 80 peratus memerlukan 41 minit menggunakan pengecas pantas.
Dari segi dimensi, KONA baharu lebih besar berbanding model 2017. Ukuran panjang bertambah 175 mm kepada 4,355 mm dan jarak roda bertambah 60 mm kepada 2,660 mm.
Ukuran lebar juga bertambah iaitu 25 mm kepada 1,825 mm dan lebih tinggi sebanyak 20 mm kepada 1,575 mm.
Dari segi praktikaliti dan sebagai SUV elektrik, KONA mempunyai ruang simpanan depan atau dipanggil frunk dengan kapasiti 27 liter.
Ruang kargo pula seluas 466 liter (VDA) dan boleh tahan untuk sebuah SUV segmen B.
Pada bahagian dalam dan bergantung kepada spesifikasi, KONA Electric dilengkapi skrin panoramik berkembar 12.3 inci dan papar pandu (HUD).
KONA Electric turut dilengkapi Digital Key 2 Touch, kemas kini penuh Over-the-Air (OTA) dan Connected Car Navigation Cockpit (ccNC).
Lagi ciri KONA Electric ialah mod pemanduan i-PEDAL, Smart Regenerative System, electronic-Active Sound Design (e-ASD) dan Eco Package.
Berkenaan teknologi bantuan pemanduan, KONA dilengkapi sistem SmartSense Hyundai dan menggunakan teknologi pemanduan autonomi Tahap 2.
Di antara sistem yang digunakan seperti Forward Collision Avoidance Assist (FCA), Blind-spot View Monitor (BVM), Remote Smart Parking Assist (RSPA) dan Driver Status Monitor (DSM).
Dengan pakej baharu, adakah KONA Electric bakal menggantikan model sedia ada di pasaran tempatan?
Berdasarkan kecenderungan Hyundai-Sime Darby Motors berkemungkinan jawapannya positif. Apa pun, tunggu pengesahan sahih dari mereka.
BACA: HYUNDAI DEDAH FOTO RASMI HYUNDAI ELANTRA 2024 FACELIFT – BAKAL TIBA DI MALAYSIA?
BACA: HYUNDAI PALISADE FACELIFT 2023 KINI DI MALAYSIA. 2 PILIHAN ENJIN, 4 VARIAN, BERMULA RM369K
BACA: HYUNDAI GRANDEUR 2023 – GENERASI BARU LEBIH MEWAH, MODEN









