Buletin

HYUNDAI LANCAR GRAND STAREX FACELIFT DI KOREA SELATAN – BERMULA RM79,900

Hyundai telah memperkenalkan model pengangkut penumpang popularnya, Grand Starex di pasaran Korea Selatan.

Dikenali sebagai H-1 Travel di Jerman dan iMax di Australia, model tahun 2018 itu menerima penambahbaikan yang ketara. Mula diperkenalkan pada tahun 2007, penampilan luaran Grand Starex tidak banyak berubah.

Namun kini, bahagian luaran Grand Starex dilihat lebih menarik. Ia diserlahkan menerusi sepasang lampu utama yang nipis, gril besar serta bahasa rekaan model kontemporari Hyundai.

Bahagian belakang diubah dengan penggunaan lampu berbentuk C. Untuk varian tertinggi, Urban didatangkan dengan lampu utama halogen, selain lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang LED. 

Dengan panjang 5,1250mm dan tapak roda 3,200mm, Grand Starex menawarkan sembilan tempat duduk dalam varian Urban. bagi varian entry level dan pertengahan, kapasiti tempat duduk ditambah menjadi 11 dan 12 kerusi.

Ruang kabin menerima perubahan ketara melalui kemasan mewah, sistem infotaimen seperti model i30, stereng empat jejari dan tuil gear yang telah direka semula.

Grand Starex dikuasakan oleh enjin turbo diesel bersesaran 2.5 liter. Enjin CRDi itu mampu menjana kuasa 140hp dan tork 353Nm apabila dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Tetapi apabila menggunakan kotak gear automatik lima kelajuan yang telah dipertingkatkan, enjin dengan teknologi pengecas turbo geometri boleh ubah itu dapat menawarkan kuasa mencecah 175 PS dan tork 451Nm.

Pelanggan turut ditawarkan dengan pacuan empat roda (4WD). Antara ciri lain yang ditambah pada model 2018 itu termasuklah lock differential untuk sistem 4WD, hill-start assist, NVH lebih baik dan suspensi lebih lembut.

Sudah boleh ditempah, Hyundai Grand Starex (Style) ditawarkan pada harga bermula 21,100,000 won (RM79,900). Sementara varian Urban Exclusive pula berharga 30,150,000 won (RM114,200) seunit.

Google ads
Back to top button