
HYUNDAI MOTORSPORT UMUMKAN PERUBAHAN BARISAN PEMANDU MUSIM INI
Pasukan Hyundai Motorsport telah mengumumkan perubahan terhadap barisan pemandunya untuk kempen FIA World Rally Championship (WRC), bukannya satu tetapi dua pemandu.
Pengeluar dari Korea Selatan itu menguatkan lagi iltizam dalam pembangunan bakat baharu dalam kempen Hyundai Motorsport Driver Development Program dan telah mengumumkan pemandu Teemu Suninen dan Emil Lindholm sebagai pemandu baharu bagi mengharungi baki kempen WRC musim ini.
Pemandu Finland, Teemu Suninen bakal menggantikan tempat mendiang Craig Breen dalam kategori utama dengan memandu jentera ketiga Hyundai i20 N Rally1 dan bakal berkongsi jentera tersebut dengan pemandu dari Sepanyol, Dani Sordo.

Sebetulnya Teemu Suninen sebelum ini turut pernah beraksi kelas utama bersama pasukan M-Sport Ford diantara tahun 2018 dan 2020 serta pernah beberapa kali menaiki podium bersama pasukan tersebut. Musim ini Teemu Suninen beraksi dalam kelas WRC2 dengan memandu jentera Hyundai i20 Rally2.
Dua lokasi awal yang telah dikenal pasti untuk Teemu Suninen beraksi adalah di Estonia dan juga Finland yang menawarkan aksi di permukaan gravel dengan kelajuan yang tinggi. Baki perlumbaan berikutnya akan ditentukan kemudian.
Pemilihan Teemu Suninen dilihat sebagai langkah tepat buat pasukan Hyundai Motorsport yang ironinya turut mempunyai seorang lagi pemandu dari Finland yang handal, Esapekka Lappi. Menarik untuk melihat Teemu Suninen beraksi di Estonia dan juga Finland memandangkan keduanya adalah ‘rumah’ buat beliau. Berasal dari Finland dan menetep di Estonia.

Sementara itu, Emil Lindholm yang berusia 26 tahun juga dari Finland bakal menyertai skuad kedua Hyundai Motorsport dan bakal memandu jentera Hyundai i20 Rally2. Sebelum ini Emil Lindholm memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2 yang disediakan oleh pasukan Toksport dan beliau bakal mempertahankan kejuaraan WRC2 yang dimenanginya tahun lepas.
Walau pun jentera Skoda Fabia RS sudah terbukti kejaguhannya dalam kelas WRC2 beberapa musim ini namun peluang untuk menyertai pasukan yang disokong oleh pasukan utama WRC ini dilihat lebih memberikan peluang yang lebih cerah untuk menjengak aksi ke pentas utama kelak.
Mula dibentuk pada tahun 2017, program pembangunan ini bertujuan untuk membina pasukan di masa hadapan dengan menyediakan lingkungan serta sumber untuk pemandu muda khusus untuk dijadikan calon bagi pemandu utama WRC kelak.
Menurut Prinsipal pasukan Cyril Abiteboul, program ini tidak hanya bertujuan untuk mengisi kekosongan yang ada tetapi merupakan satu platform yang cukup strategik demi memastikan Hyundai Motorsport memiliki banyak pilihan diantara pemandu muda yang ada.
BACA : TIM HYUNDAI MOTORSPORT & TOYOTA GAZOO RACING TAYANG JENTERA RALLY1 BAHARU MEREKA









