Buletin

IMPAK COVID-19, JUALAN VOLVO CARS JATUH!

Impak wabak Covid-19 bukan sahaja pada nyawa manusia tetapi juga ekonomi dunia. Di negara kita, impak pada ekonomi belum tertulis di atas kertas secara terperinci.

Syarikat yang menjalankan perniagaan di peringkat global sudah pun mempunyai data seperti laporan terbaru Volvo Cars ini.

Pada suku pertama 2020 (Januari hingga Mac), jualan Volvo Cars jatuh 18.2 peratus kepada 131,889 unit kenderaan.

Volvo Cars tidak berselindung untuk mengatakan prestasi jualannya jatuh akibat pandemik Coronavirus di serata dunia.

Jualan global pada bulan Mac jatuh 31.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 46,395 unit.

Prestasi itu dipengaruhi permintaan yang lemah di Eropah dan China. Jualan di China pula menunjukkan pemulihan apabila kunjungan ke bilik pameran semakin baik.

Dalam tiga bulan pertama, model paling laris Volvo Cars ialah SUV XC60 disusuli XC40 dan XC90.

Jualan SUV mewakili 67.9 peratus dari prestasi keseluruhan, meningkat 60.3 peratus berbanding suku pertama tahun lalu.

Siri model elektrifikasi yang dikenali Recharge mengekalkan momentum jualan baik dengan penguasaan jualan sebanyak 14.7 peratus.

Tempoh yang sama tahun lalu menyaksikan pegangan jualan sebanyak 7.4 peratus.

Jualan di China pada suku pertama ialah sebanyak 20,780 unit, jatuh 30.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi tersebut berpunca dari jualan yang rendah pada bulan Januari dan Februari.

Pada bulan Mac, kunjungan ke bilik pameran semakin memulih dan pada awal bulan ini, Volvo Cars membuka semula empat kilang pengeluaran di China selepas ditutup akibat penularan Coronavirus.

Jualan di Amerika Syarikat untuk tiga bulan pertama 2020 ialah 19,485 unit, jatuh 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Majoriti negeri di AS telah pun melaksanakan perintah tinggal di rumah yang mengakibatkan penurunan ketara kunjungan ke bilik pameran seterusnya menjejaskan prestasi suku pertama.

Jualan Volvo Cars di Eropah pula sebanyak 70,510 setakat Mac, jatuh 18.5 peratus berbanding tempoh sama tahun.

Sama seperti negara lain, prestasi itu menurun akibat kawalan pergerakan di beberapa pasaran utama seperti Jerman, United Kingdom, Perancis, Itali dan Belgium.

Berikut ialah jualan tiga model terbaik Volvo Cars suku pertama 2020:

  1. XC60: 36,930 unit
  2. XC40: 34,268 unit
  3. XC90: 18,327 unit

Sama-sama kita doakan semoga wabak Covid-19 ini berkurangan dan kita dilindungi Allah s.w.t.

Google ads
Back to top button