Buletin

INDIA BENARKAN JUTAAN MIGRAN BALIK KAMPUNG. PERINTAH KUARANTIN DISIFATKAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

Kerajaan India membenarkan jutaan rakyatnya yang terkandas di bandar-bandar besar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. 

Notis yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri itu menyatakan mereka perlu menjalani pemeriksaan simptom di lokasi bermulanya perjalanan dan destinasi, kemudian dikuarantin.

Pergerakan migran itu bagaimanapun hanya boleh dilakukan menerusi kerjasama kerajaan. Ini bermakna rakyat tidak boleh merentas negeri secara sendiri. India mengenakan perintah kuarantin sejak 24 Mac bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

Ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan kuarantin di seluruh negara, rakyat hanya diberi masa empat jam. Ini menyebabkan ratusan ribu rakyat berpusu-pusu untuk keluar dari bandar dan pulang ke kampung 

Kebanyakan daripada mereka ialah pekerja migran yang datang ke bandar untuk mencari rezeki. Mereka merupakan tulang belakang kepada ekonomi bandar-bandar dengan bekerja sebagai pekerja pembinaan, restoran, penghantaran dan sebagainya. 

Dianggar 100 juta pekerja ini hidup dalam kondisi yang sangat dhaif. Sebaik sahaja tempat kerja ditutup, mereka bimbang akan diancam kebuluran. Maka, ramai yang mengambil langkah ekstrem dengan berjalan kaki pulang ke kampung yang jaraknya sejauh ratusan kilometer. 

Ada kerajaan negeri yang cuba membantu menawarkan perkhidmatan bas. Tetapi ia penuh dengan pantas. Justeru, ribuan migran ini terpaksa ditempatkan di pusat-pusat kuarantin dan kem bantuan.

Baru-baru ini, sejumlah pekerja migran di negerai Gujarat mengadakan tunjuk perasaan dan menggesa kerajaan negeri membenarkan mereka pulang ke kampung. 

Walaupun kerajaan mendakwa perintah kuarantin dilaksana untuk menyelamatkan nyawa, namun pengkritik menyatakan perancangan tidak teliti menyebabkan golongan paling miskin terjejas teruk. 

Situasi itu membuatkan seorang peguam aktivis, Prashant Bushan menfailkan petisyen di Mahkamah Agung memohon migran dibenarkan pulang. Bushan juga menyifatkan perintah kuarantin itu sebagai tidak berperikemanusiaan. – BBC 

Google ads
Back to top button