BuletinMotosikal

INDONESIA AKAN JADI TUANRUMAH MOTOGP PADA 2021…

Sebenarnya, berita Indonesia bakal menjadi tuanrumah MotoGP berbunyi seawal tahun 1999 lagi dah. Ia waktu kali pertama Litar Antarabangsa Sepang dibuka untuk pentas perlumbaan dunia.

Waktu tu kami masih ambil gambar pakai filem, hantar print kemudian scan masuk dalam majalah.

Sekarang, scanner pun dah jadi mesin kumpul habuk, tapi nampaknya jangankan litar MotoGP, selipar Rossi pun tak nampak lagi kelibat bayangnya di Indonesia.

Ada beberapa siri “kisah MotoGP bakal diadakan di Indonesia”. Pada awalnya kedengaran litar mereka di Sentul akan dinaiktaraf untuk memenuhi spesifikasi perlumbaan. Kemudian senyap begitu sahaja.

Kemudian, terdengar cerita bahawa satu litar baru akan dibina di Palembang. Dan daripada Abang Japar pakai satu-satunya smartphone paling mahsyur di dunia ketika itu – Blackberry, sehinggalah Blackberry bangkrap, Litar Palembang masih belum kelihatan.

Dan ini adalah berita yang terbaru. Khabarnya litar perlumbaan akan dibina di daerah Mandalika di kepulauan Lombok.

Dari kebanyakan berita yang pernah dilaporkan media di sana, ini mungkin laporan yang paling kukuh setakat ini.

Berita yang dipetik daripada CNN Indonesia ini memetik komen
Indonesia Tourism Development Corporation (ITDC) menerusi Pengarah Utama, Abdulbar M. Mansoer.

Beliau memberitahu ITDC telah menandatangani Promoter’s Agreement dengan Dorna Sport SL untuk menjadi tuanrumah perlumbaan MotoGP bermula tahun 2021.

Menurut ITDC, persetujuan tersebut dilakukan di Madrid pada 29 Januari 2019 lalu di mana kontrak MotoGP di Indonesia akan berlangsung selama tiga tahun bermula 2021 hingga 2023 dengan pilihan sambungan kontrak ke hadapan.

Beliau menambah bahawa mereka harus bersaing dengan negara Brazil yang juga mahu menjadi tuanrumah, tetapi akhirnya Indonesia mendapatnya utuk tahun 2021.

Abdulbar M. Mansoer turut memberitahu;

“Kita sudah memperolehi dana dan akan melantik Perancis Vinci construction Grand projects. Kita akan bangunkan litar ini dari peringkat awal dan dengan hanya dua tahun lagi menjelang 2021, kami berharap dapat melakukannya.

“Litar ini bakal menarik pelancong ke Indonesia. Bagi perlumbaan sebenar, ada empat hari. Dengan anggaran 100,000 orang sehari dan hari terakhir mungkin 150,000. Secara puratanya, ia mungkin menarik sekitar 300,000 orang pengunjung”, beliau menambah

Mengenai dana pembinaan yang akan digunakan untuk membangunkan sirkuit Mandalika pula, beliau memberitahu bahawa ia diperolehi menerusi pinjaman dari Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) bernilai 40-50 juta US dolar.

“Bukan litar tertutup yang akan kami bangunkan, tetapi Street Race Circuit seperti di Singapura dan Monaco. Indonesia juga bakal menjadi venue ke-21, rangkaian balap MotoGP dalam setahun, dan satu-satunya yang berkonsep Street Race Circuit.,” ujar Abdulbar menambah.

Untuk rekod Carmelo Ezpelata pernah melawat Mandalika Lombok untuk meninjau daerah yang akan menjadi calon litar baru Motogp ini, beliau sempat memberikan komentar tentang calon sirkuit di Mandalika Lombok ini.

“Sangat memungkinkan. Secara teori trek lurus akan mengambil jalan bandar, justeru, bahagain paddock boleh bersambung terus ke pusat pameran. Sewaktu MotoGP boleh digunakan untuk perlumbaan dan hari biasa boleh digunakan untuk aktiviti normal”

“Apa yang pasti, menjelang tahun 2021, kami tidak akan menganjurkan lebih 20 pusingan. Terlalu banyak permintaan dari Negara yang mahu menganjurkan MotoGP di tempat mereka, namun sudah tentu, semuanya perlu dipertimbangkan,” UJar Ezpeleta ketika ditemuramah Motorsport pada tahun lalu.

GALERI

Google ads
Back to top button