Artikel Pilihan

INILAH MASANYA UNTUK MEMBELI HYPERCAR MISTERI TERBARU MCLAREN – KALAU MAMPU

Khabar angin kini berlegar kononnya McLaren kini merancang untuk mengeluarkan versi produksi McLaren Visiom GT Concept yang sebelum ini direka khusus untuk permainan video Gran Turismo Sport. Model yang diberi kod BC-03 ini sebenarnya merupakan satu misteri kerana ia belum diperkenalkan secara rasmi oleh McLaren tapi kini anda boleh mula membeli slot pembinaannya. Kalau slot dah dijual sudah tentu kereta ini akan memulakan pengeluaran.

Slot pembinaan untuk McLaren BC-03 ini disenaraikan untuk jualan oleh Knight International pada harga USD336,589 satu plot bersamaan dengan hampir RM1.5 juta! Slot sahaja tu tuan-tuan, belum keretanya lagi.

Berapa pula harga keretanya? Sumber menyatakan McLaren BC-03 akan mempunyai tanda harga sekitar USD3.5-4 juta (lebih kurang RM14-17 juta) sahaja seunit. Allahu, ini dah jauh lagi mahal dari McLaren Senna dan Bugatti Chiron sekali pun.

Kalau anda minat model limited edition, ini mungkin definisi baru limited edition. Kereta ini cuma akan dikeluarkan sebanyak 15 unit sahaja. Jadi kalau rasa nak tu baik beli slot ni cepat-cepat sebelum kereta ini dilancarkan secara rasmi. Kalau dah rasmi memang sold out terus la. Kalau korang dah mula rasa gaji lepas raya lambat lagi, kereta ni memang bukan jodoh korang okey.

Gambar-gambar render yang bocor tahun lepas menunjukkan kereta ini mempunyai imej yang cukup radikal khususnya lampu belakang berbentuk menegak, spoiler belakang besar selain diffuser belakang yang memang kelihatan sangat agresif. Bahagian depan pula mempunyai beberapa persamaan dengan McLaren 720S khususnya pada bahagian lampu utama.

Ramai menyatakan yang kereta ini bakal menggunakan casis yang sama dengan McLaren Senna. Sumber terdekat McLaren pula menyatakan BC-03 ini bakal dikuasakan enjin 4.0L turbo berkembar V8 dengan motor elektrik yang bakal menghamburkan sekitar 1,100 hp kuasa.

Jika ianya model sah untuk jalan raya, BC-03 ini dikatakan mampu untuk menewaskan Aston Martin Valkyrie dan Mercedes-AMG One. Tapi jangan pelik kalau pelancaran kereta ini ditunda kerana kegawatan ekonomi menyaksikan banyak syarikat mengurangkan jumlah pekerja untuk terus hidup.

Tags
Google ads
Back to top button