Pandu Uji

IRIZ, HARAPAN REALISTIK PROTON

“Moral orang di Proton sekarang tinggi sikit lah. Tak macam dulu,” kata seorang orang kanan Proton kepada saya sebelum melangkah masuk ke dalam model terbaharu Proton, Iriz.

Proton-Iriz-pandu-uji-mekanika (8)

Pengeluar kereta nasional itu kini sudah menginjak usia lebih tiga dekad. Bukan satu tempoh yang boleh membuatkan mana-mana pengeluar kenderaan menjadi terlalu matang dari segi teknologi, pengurusan, khidmat selepas jualan atau sebagainya. Malah bukan juga satu tempoh yang pendek untuk tidak belajar dan terus melakukan kesilapan yang sama.

Sejak dahulu lagi, Proton sering menjadi bahan penilaian yang kadang-kala memang kurang adil. Tetapi, keadaan itu tidak boleh disalahkan kepada pengguna semata-mata. Pengguna sebenarnya seolah-olah sudah penat dengan janji-janji manis yang ditabur.

Iriz-test-drive-mekanika (2)

Namun, pada masa yang sama, pengguna seperti terus memberi peluang kepada Proton. Biarpun sokongan itu tidaklah sehebat ketika Proton mula-mula mengeluarkan model Saga pada tahun 1980-an dahulu. Lumrah manusia, satu kesilapan juga lebih mudah diingat berbanding mungkin seratus kebaikan yang diberikan sebelum ini.

Atas alasan itu juga, setiap kali Proton memperkenalkan kereta baharu, ia perlu menjadi produk yang boleh mengubah nasib Proton. Kalau bukan secara total sekali pun, sekurangnya memberi bekas di hati bakal pembelinya. Apatah lagi ketika model-model moden Proton seperti Preve dan Suprima S nampaknya seperti tidak memberi impak sebagaimana yang diharapkan.

Proton-Iriz-pandu-uji-mekanika (9)

Jadi soalannya sekarang, mampukah hatchback pertama Proton, Iriz memikul tangggungjawab tersebut?

Selepas menjalani sesi pandu uji Iriz dari Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang menuju ke Pulau Pinang baru-baru ini, saya boleh katakan bahawa Iriz berada di landasan yang betul untuk memenangi kembali hati orang ramai. Percaya atau tidak, Iriz ialah kereta Proton kedua yang saya minat selepas Satria GTi!

SONY DSC

Saya mulakan sesi pandu uji dengan Iriz 1.3 Standard bertransmisi manual. Slot pertama pandu uji itu melibatkan cabaran penjimatan minyak. Maksudnya, semua peserta harus mendapatkan bacaan penggunaan minyak paling rendah dan perlu sampai ke destinasi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Bagi menjadikan cabaran itu realistik dan menggambarkan keadaan dunia sebenar, perjalanan sejauh 185 kilometer dari Subang ke Gopeng, Perak itu perlu ditamatkan dalam tempoh dua jam. Jadi, peserta tidak boleh memandu terlalu perlahan atau menutup pendingin hawa.

Proton-Iriz-pandu-uji-mekanika (10)

Biarpun dengan kekangan itu, saya dan rakan sepasukan dari Harian Metro mampu mencatat penggunaan bahan api 5.9 liter bagi setiap 100km. Tetapi, memandangkan kami lewat hampir setengah jam, penalti dikenakan dan catatan rasmi yang diperolehi ialah 7.4l/km.

Selepas Gopeng, barulah saya dapat memandu Iriz dengan lebih agresif. Memandu versi manual ini sememangnya cukup mengujakan. Penukaran gear yang ditawarkan oleh kotak gear Getrag lima kelajuan itu memang lancar dan terasa solid.

SONY DSC

Ia mampu mengekstrak sepenuhnya kuasa sebanyak 70Kw dan tork 120Nm yang disediakan oleh enjin bersesaran 1,3 liter itu. Cuma, gear kelimanya seperti hanya bersifat cruising. Bagi mendapatkan momentum untuk memotong kenderaan lain, gear perlu diturunkan.

Iriz 1.3 manual juga tidak kekok untuk dipandu di bandar. Klacnya yang lembut tidak membuatkan kaki cepat penat. Meluncur di lebuh raya pada kelajuan tinggi, bunyi bising daripada angin bagaimanapun kedengaran agak ketara.

Proton-Iriz-pandu-uji-mekanika (13)

Malangnya, keseronokan mengerah kuasa pada varian automatik bersesaran 1.6 liter yang dipadankan dengan kotak gear CVT agak mengecewakan. Transmisi yang dibina oleh pihak Punch itu terasa malas dan seolah-olah menyekat potensi maksimum enjin tersebut.

Pihak pengurusan Proton menyedari mengenai kekurangan ini. Mereka berjanji akan memperbaikinya pada masa akan datang.

SONY DSC

Berbeza dengan model-model Proton sebelum ini, ruang dalaman Iriz tidak nampak murah walaupun sebahagian besarnya menggunakan plastik keras. Harus tahu juga bahawa ini ialah model standard, jadi ruang papan pemukanya kelihatan agak kosong.

Saya tiada masalah dengan itu. Cuma apa yang saya kurang berpuas hati ialah kualiti penerimaan stesen radionya. Sepanjang perjalanan, banyak sekali lokasi yang siaran radionya terputus-putus. Memang menjengkelkan.

Proton-Iriz-pandu-uji-mekanika (11)

Namun, perasaan itu sedikit terubat apabila memandu di laluan berselekoh sebelum sampai ke hotel di Batu Ferringhi, Pulau Pinang. Iriz sememangnya menawarkan pengendalian yang begitu memuaskan.

Mengendalikan Iriz di selekoh dengan kelajuan sedikit tinggi tidak mengundang rasa bimbang. Sebaliknya, pemandu akan berasa teruja kerana jentera ini seperti melekat di atas jalan raya. Kawalan sterengnya tepat dan tidak terasa terlalu ringan. Tubuhnya juga tidak rasa membuang. Malah segala ketidaksempurnaan jalan dapat diserap dengan baik.

SONY DSC

Pendek kata, Proton berjaya menggabungkan kualiti pengendalian, prestasi dan keselesaan dengan cukup baik. Oh ya. Harus tahu juga bahawa penglibatan Lotus dalam pembangunan Iriz adalah minimum. Maka, talaan cemerlang itu merupakan hasil kerja jurutera tempatan. Kali ini, Proton memang layak diberikan tepukan.

Selepas seharian memandu Iriz, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jentera kompak ini sudah cukup berbaloi jika dibandingkan dengan harga yang dimintanya. Iriz bukanlah sebuah kereta yang sempurna, tetapi ia mempunyai resepi tepat untuk berjaya.

SONY DSC

Anda boleh memilih untuk tidak percaya dengan semua yang saya tulis di sini. Bagus juga kerana anda perlu memandu sendiri Iriz. Lebih bagus jika rasa prejudis diketepikan terlebih dahulu. Peace…

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button