
ISLE OF MAN TT – PERLUMBAAN YANG MENAGIH NYAWA PELUMBA SETIAP TAHUN
Sebut sahaja perlumbaan sukan motor ramai yang akan membayangkan perlumbaan Formula Satu ataupun WRC. Paling tidak pun MotoGP. Tapi kena ingat hanya satu sahaja perlumbaan yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang sangat tinggi. Ia bukan hanya berbahaya dan penuh dengan kejutan, malah ia juga sentiasa menagih nyawa sekurang-kurangnya seorang pelumba setiap tahun. Ia adalah perlumbaan ujian masa Isle of Man TT.

Isle of Man TT merupakan perlumbaan yang menjadi kegilaa ramai penunggang untuk menguji kehebatan skil dan jentera masing-masing. Kalau dah bahaya kenapa ia masih sangat popular?
Macam kami bagitahu tadi perlumbaan in menarik minat pelumba-pelumba berani, hebat dan mungkin juga sedikit gila dari seluruh dunia. Ia bukan melibatkan adegan potong memotong seperti perlumbaan lain tapi lebih kepada berlumba dengan masa. Pelumba-pelumba dijarakkan selama sepuluh saat untuk setiap perlumbaan dan masing-masing akan berusaha untuk memecahkan rekod catatan masa sebelum ini.

Saban tahun lebih 40,000 ribu peminat berkunjung ke pulau kecil di luar persisiran pantai United Kingdom. Ia bukan satu perkara baharu bahkan sudah menjadi tradisi lebih dari 100 tahun. Perlumbaan dilangsungkan dalam lima kelas berbeza dari sidecar sehinggalah jentera 1,000cc yang diminati ramai.
Kelajuan purata tertinggi penunggang berpengalaman mencecah 217 kmj. Bukan kelajuan maksima tapi kelajuan purata. Peter Hickman contohnya berjaya memecut sehingga 321 kmj pada laluan lurus yang dinamakan Sulby Straight. Bukannya sesuatu yang pelik untuk superbike 1,000cc yang rata-ratanya mempunyai kuasa sekitar 200hp.
Rekod terpantas Isle of Man TT ialah 16:36.328 dan dicatatkan oleh Peter Hickman pada tahun 2023 menggunakan jentera BMW S1000 RR. Abang Japar mesti dah menyesal jual motor ni dulu.

Perlumbaan Isle of Man TT ini bukan hanya diminati tapi juga digeruni kerana sentiasa melibatkan kematian saban tahun. Boleh dikatakan ia meragut nyawa seorang pelumba setiap tahun. Lebih malang lagi bila enam pelumba terbunuh dalam perlumbaan 2022 menjadikan ia rekod terburuk dalam sejarah perlumbaan ini.
Tragedi berlaku saban tahun sejak 1907 di mana seorang pelumba terkorban setiap tahun. Pengecualian hanya tahun 1982 di mana tiada seorang pun terbunuh pada tahun itu. Syukur.
Apa pun ia tidak menggentarkan pelumba-pelumba ini dari memecut dari garisan permulaan dan menakluki selekoh demi selekoh untuk memecahkan rekod kelajuan. Kalau setakat bunyi ekzos je laju nak buat apa kan?



