
JENTERA SPORT DENGAN NADI HONDA DARI NEGARA GAJAH PUTIH – TYPE R TOM YAM
Biasanya kereta-kereta sports ringan berfokuskan kegunaan litar berasal dari Eropah khususnya UK. Tengoklah Ariel Atom, Lotus dan sebagainya. Tapi Thailand? Memang tak pernah dengar lagi ada kereta sports berasal dari bumi tom yam dan paprika ni. Tapi tu dulu, sekarang dah ada dah weh.

Perkenalkan T63, sebuah jentera sports ringan yang dihasilkan oleh syarikat Tera S Motor dari Thailand. Mula ditubuhkan pada tahun 2020 dan mereka berjaya menghasilkan T63 penghujung tahun lepas dan telah dipamerkan kepada umum di Bangkok International Motor Show.
Untuk memastikan ia cukup ringan, T63 menggunakan chasis yang diperbuat daripada serat karbon. Kuasanya pula disumbangkan oleh enjin 2.0 liter turbo yang dihasilkan oleh Honda. Ya, enjin yang sama digunakan oleh Honda Civic Type R. Ia ditala supaya mampu menghasilkan 350 hp kuasa dan 500 Nm tork maksima. Kuasa tersebut kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear Sadev sequential 6-kelajuan.
Kalau ada yang rasa kuasa 350 hp tu tak cukup jangan bimbang sebab itu untuk model prototaip. Model sebenar dijangkakan akan dibekalkan dengan 500 hp kuasa maksima. Tekan sahaja pedal minyak T63 akan mencecah 163 kmj hanya dalam masa 3 saat!

Jangan pandang enteng pada Tera S Motor walaupun syarikat mereka masih baharu. Buktinya ialah penggunaan serat karbon yang menyeluruh pada binaan kereta ini untuk kereta ini. Tengak sahaja rekaan aero kereta ini yang memang direka bagi memastikan ia mampu melekat ke permukaan jalan semasa membuat pecutan.
Penggunaan pintu gull wing memang bukan biasa-biasa begitu juga dengan rim-rim aluminum tempa bersaiz 18 inci memang nampak cukup serius.
Itu belum dicampur dengan angkup brek AP Racing di bahagian depan dan belakang. Ia memang sebuah prototaip yang lengkap.

Namun belum pasti bial kereta ini akan mula diproduksikan. Menghasilkan prototaip adalah cukup mudah berbanding menghasilkan model produksi sebenar tapi melihat kepada model ini, kami cukup gembira kerana masih ada pihak yang berminat dengan kereta sports dalam dunia automotif yang semakin ditenggelami populariti EV.