
JETBUS 3+ BIG BENZ LIMITED EDITION – COMMANDER. BAS MINI KUSTOM ISTIMEWA TANAH JAWA
Buat pembaca Mekanika sebelum ini, mungkin ada yang pernah membaca mengenai perusahaan bas kustom, karoseri Adi Putro. Perusahaan Adi Putro ini cukup gah di Indoensia. Baru – baru ini mereka telah menyiapkan sebuah bas mini tempahan khas, Jetbus 3+ Big Benz Limited Edition – Commander.
Melihatkan rupa luaran model yang diberi gelaran Commander serba hitam ini, pasti ada yang menyangkakan ianya adalah sebuah kenderaan militari, apatah lagi di bahagian bumbungnya terdapat lampu strobe. Dan paling ketara di bahagian hadapan adalah terdapat banyaknya lampu lampu kecil selain daripada lampu utama. Maklumlah, kondisi jalanraya di sana kadangkala gelap gelita.

Berbanding rekaan bas mini yang lain menggunakan badan dan kepala bas yang bersambung tetapi model yang dibina berdasarkan casis OF 917 ini dilihat membataskan diantara dua bahagian. Bahagian penumpang telah direka lebih tinggi (anggaran 3.4meter) dan berkotak bagi membolehkan penumpang bergerak dengan bebas dan selesa tanpa perlu membongkok.
Bahagian dalamnya menampilkan ciri yang cukup mewah dan super selesa, selayaknya bas mewah yang ada di luar sana. Tempat duduk penumpang terhad hanya kepada lapan penumpang sahaja (tidak termasuk tiga kerusi di bahagian pemandu) dengan kerusi balutan kulit super empuk dan lebar. Jelas dilihat, kerusinya telah disulam dengan logo Mercedes – Benz & Commander bagi memenuhi kehendak pemiliknya yang mahukan lebih citarasa premium dan eksklusif.

Kerusi ini juga dilengkapi dengan perehat kaki serta fungsi mengurut bagi memastikan penumpang kekal segar ketika melewati jarak perjalanan yang jauh merentasi Tanah Jawa hingga ke hujung Sumatera. Dan untuk menghiburkan penumpang, setiap kerusi kini dilengkapi dengan skrin sesentuh dengan OS Android bersaiz 14 inci. Jikalau itu belum menghiburkan, di bahagian hadapan tersedia juga tv bersaiz 32 inci. Nak layan movie memang sedap sangatlah.

Trenkuasa model ini menggunakan enjin 4D34i yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 170 hp dan 520 Nm pada RPM 1500 bagi memastikan kuasa optimum serta kecekapan bahan bakar. Kotak gear pula menggunakan manual enam kelajuan.
Dari segi keselesaan, sistem suspensi kini menggunakan jenis coil dan bukannya jenis leaf spring yang pastinya memberikan lebih kenyamanan. Dan disebabkan itu, model microbus ini kelihatan lebih tinggi, tetapi ianya telah diberikan pemijak kaki tambahan bagi memudahkan keluar masuk penumpang. Dan bagusnya ketinggian sebegini, memudahkan Commander ini menuruni atau pun mendaki bukit yang curam tanpa masalah tanpa menyebabkan bahagian bampar hadapan / belakang bergeser dengan permukaan jalanraya.

Pada bahagian belakang, tersedia adalah tandas yang mampu berfungsi di saat menghadapi kecemasan. Juga terdapat ruangan pantri yang cukup lengkap meliputi dapur elektrik, microwave dan juga peti ais mini. Ada juga ruangan dua kerusi untuk penumpang berdiskusi hal hal penting. Dan untuk kecergasan pemandu, juga terdapat ruangan tempat tidur bagi di hujung sekali. Bolehlah buat hilang mengantuk bagi memberikan laluan kepada pemandu gantian untuk meneruskan perjalanan.
Menurut Adi Putro, ini merupakan hasil masterpiece yang pernah direka bagi memenuhi kehendak pemilik yang cukup teliti dan penghasilan model Commander ini.
Kredit Foto : FB AdiPutro
BACA : ALKISAH PEMBUATAN KAROSERI INDONESIA
BACA : INDUSTRI MICROBUS DI INDONESIA – APA BARANG GUNA VAN DARI CHINA






