Buletin

JOHN COOPER WORKS AKAN JADI SUB JENAMA EV BERPRESTASI TINGGI UNTUK MINI

Sebut sahaja John Cooper Works (JCW), umum maklum bahawa ia merupakan firma yang bertanggungjawab menala kenderaan MINI menjadi lebih berprestasi tinggi. 

Model terbaharu yang mereka hasilkan ialah MINI John Cooper Works GP yang dilengkapi enjin 2.0 liter turbo berkuasa 301hp dan tork 448Nm. Ini menjadikannya sebagai MINI paling laju pernah dihasilkan dan mampu meluncur di litar Nurburgring dalam masa bawah 8 mini. 

Namun, apakah masa depan JCW? Menurut laporan Auto Express, MINI kini merancang untuk menukar JCW menjadi sub jenama elektrik berprestasi tinggi.

Jika model MINI dengan kit atau talaan JCW dibina berasaskan kepada MINI Cooper dan MINI Clubman, tidak mustahil pembuat kereta premium itu akan menawarkan model baharu di bawah jenama JCW. 

Buat masa sekarang, JCW hanya mewakili lima peratus daripada jualan keseluruhan MINII, tetapi ia didakwa menawarkan keuntungan yang lebih tinggi. 

Melihat kepada potensi itu, ketua MINI, Bernd Korber mahu menukar JCW menjadi satu sub jenama sebagai sebahagian daripada pengembangan model EV MINI. 

Pada peringkat awal, JCW dijangka membangunkan model elektrik baharu MINI. Ini termasuklah MINI Cooper SE yang kini menawarkan kuasa 181hp dan tork 270Nm mengikut spesifikasi standard.

JCW juga akan menghasilkan model EV akan datang MINI seperti crossover dan Countryman yang lebih besar. 

Model-model itu paling awal pun akan tiba pada tahun 2024. 

“Memang akan masih ada permintaan terhadap model JCW dengan enjin pembakaran dalaman (ICE). Tetapi, jenama berprestasi tinggi ini akan menjadi jentera elektrik. Tidak mustahil juga MINI akan memberi kebebasan kepada JCW untuk mempunyai model bespoke tersendiri,” jelas Korber.    

Google ads
Back to top button