
JUALAN BMW M TERUS MENINGKAT, EV i4 M50 PALING LARIS!
Biasanya pengeluar kereta melaporkan mengenai prestasi jualan tahunan model-model kebanyakan.
BMW pula berbeza dengan melaporkan prestasi jualan model berprestasi BMW M.
Bukan apa, kereta berprestasi dan sport berada di dalam segmen kecil (niche) dan jualannya jauh berbeza daripada model kebanyakan.
Kelangsungan jualan adalah penting untuk model berprestasi terus dibangunkan dan ditawarkan.
Untuk tahun fiskal 2024, BMW M GmbH sekali lagi mencatatkan rekod dengan memperolehi jualan sebanyak 206,582 unit.
Pencapaian ini kali kedua selepas jualan BMW M melepasi angka 200,000 unit buat kali pertama pada tahun 2023.
Prestasi BMW M juga menunjukkan pengeluar kereta sport BMW tidak terkesan dengan hiruk-pikuk yang melanda industri automotif tahun lalu.
Apa yang menarik BMW M sendiri terlibat dalam agenda elektrifikasi dan menerima manfaat. Model paling laris adalah BMW i4 M50 elektrik. Bahkan, pencapaian 2024 merupakan kali ketiga berturut-turut!
Seperti kata BMW, i4 M50 memindahkan gabungan sifat M iaitu kelincahan, dinamik dan kejituan ke dalam dunia mobiliti elektrik.
Dibekalkan motor elektrik depan dan belakang, Gran Coupé ini memiliki kuasa 400 kW (544 hp) dan boleh dipandu sehingga 522 kilometer (WLTP).
Satu lagi fakta adalah model BMW M turut menyumbang kepada kejayaan keseluruhan Kumpulan BMW.
Daripada sepuluh jualan, satu daripadanya mewakili model M atau 9.4 peratus pegangan dan juga satu lagi rekod baharu.
Untuk makluman, i4 M50 boleh dimiliki pengguna tempatan dan ditawarkan pada harga RM430,800.
Dari segi pertumbuhan, prestasi BMW M didorong oleh model berprestasi tinggi dengan M2 menyaksikan lonjakan sebanyak 64 peratus.
M2 dibekalkan enjin 3.0 liter M TwinPower Turbo enam silinder yang menghasilkan 480 hp.
Satu lagi yang menarik adalah jualan si wagon M3 Touring melonjak 57 peratus.
Selain i4 M50, model elektrik lain juga mencatatkan keputusan baik dengan XM yang merupakan model elektrifikasi berprestasi tinggi pertama menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 16 peratus.
Sistem M HYBRID pada model Sports Activity Vehicle (SAV) ini memiliki kuasa 748 hp (XM Label).
Secara keseluruhan, model prestasi tinggi BMW M melintasi tahun 2024 dengan jualan sebanyak 66,805 unit dan peningkatan 18 peratus.
Dari segi pasaran, BMW M GmbH menerajui segmen prestasi dan prestasi tinggi yang eksklusif di peringkat antarabangsa.
BMW menduduki tempat pertama di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman di kalangan pengeluar kereta sport.
Satu lagi yang dikongsi adalah pembangunan BMW M3 versi elektrik sedang berjalan. Bagaimana sambutannya nanti memandangkan 3 Series merupakan model yang digemari sejak dulu lagi.






