Motosikal

KENALI X-WEDGE, JENAMA BAHARU MASUK MALAYSIA MEI INI, PESAING CRUISER AS 

MForce Bike Holdings bakal memperkenalkan sebuah lagi jenama baharu untuk pasaran Malaysia kali ini menerusi X-Wedge.

Jenama motosikal dari China itu merupakan sebuah jenama baharu dan mempunyai misi besar untuk bersaing dalam segmen cruiser terutamanya jenama popular dari Amerika Syarikat, Harley-Davidson. 

*Vanguard VT2000

Kali pertama kami melihat jenama ini adalah di CIMA 2024 (China International Motorcycle Trade Exhibition) tahun lalu di Chongqing, China dan jenama tersebut berjaya menarik ramai pengunjung termasuk media antarabangsa. 

Ini kerana X-Wedge menawarkan model cruiser berkuasa tinggi dengan enjin bersesaran 2000cc sekaligus meletakkan jenama itu dalam segmen sama dengan Harley-Davidson. Bagaimanapun, X-Wedge menawarkan harga yang jauh lebih mampu milik (antara 50 hingga 70 peratus lebih rendah). 

*Walker WR1000

X-Wedge menawarkan model cruiser, cruiser dengan sidecar serta trike (roda dua dibelakang). Lebih menarik, X-Wedge juga menawarkan model dwi-roda yang mirip Can-Am Spyder. 

Menariknya, reka bentuk kesemua model X-Wedge direka sepenuhnya oleh syarikat pereka terkemuka dunia, KISKA Design yang turut bertanggungjawab mereka motosikal KTM, Husqvarna dan GasGas. 

*Voyager VS2000

Ketika di CIMA 2024, X-Wedge mempamerkan beberapa model termasuk Ranger RX2000, Voager, VS2000, Vanguard VT2000 dan Rover RL2000 sementara sebuah lagi model 1000cc menerusi Walker WR1000.

Trenkuasa yang menjadi pilihan adalah platform V-Twin 1,979cc yang berupaya menjana 99hp dan 158Nm. Selain itu, kesemua model 2000cc ini menawarkan kelengkapan terkini termasuk throttle elektronik, ABS dwi-saluran, traction control dan cruise control secara standard. 

*enjin V-Twin 1,979cc

Untuk rekod, enjin V-Twin yang digunakan berasal dari Wisconsin, Amerika Syarikat dan bertujuan sebagai komponen ‘after-market’ untuk memenuhi permintaan peminat disana yang mahu menaik taraf motosikal cruiser mereka. 

Bagaimanapun, Hisun Motors (anak syarikat kepada Huansong Industrial Group) telah bertemu dengan KISKA Design bagi mengenal pasti peluang untuk enjin tersebut bergerak sebagai jenama sendiri sekaligus wujudnya X-Wedge. 

*Ranger RX2000

Berdasarkan perkembangan terkini, kami difahamkan MForce telah pun mempersiapkan sebuah pusat pameran serba baharu bagi menempatkan jenama X-Wedge di Utara termasuk beberapa lagi sekitar Malaysia. 

Menurut info, jenama X-Wedge bakal debut di Malaysia ketika di Malaysia Autoshow 2025 yang akan berlangsung sekitar Mei ini. 

GALERI: X-WEDGE

Google ads
"
"
Back to top button